Relevankah Mahathir Menjadi Penasihat Kerajaan???


Jadikan Mahathir penasihat kerajaan

KOTA BHARU 26 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat kerajaan dan UMNO. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menyampaikan pandangan secara tertutup agar tidak dieksploitasi oleh pihak ketiga. Beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbangkan perkara ini secara serius bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan dan dijadikan modal politik untuk mengelirukan rakyat. "Selama 21 tahun Dr. Mahathir berjuang dan memberikan khidmat yang luar biasa serta banyak berjasa, sudah tentu beliau mahu melihat dasarnya sebelum ini diteruskan sehingga Wawasan 2020 tercapai. "Sebab itu bila ada sesuatu yang tidak betul akan ditegurnya disebabkan tidak ada saluran untuk beliau menyampaikannya secara tertutup tetapi lazimnya pandangan beliau diambil kesempatan oleh pihak tertentu," katanya. Beliau berucap pada Malam Pimpinan Aidilfitri Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Pusat Khidmat Membela Rakyat (PKMR) dan Kelab Wartawan Kelantan (Kawan) di sini malam tadi. Menurut beliau, semua pihak juga tidak perlu memandang serong terhadap pelantikan ini kerana hubungan antara kedua-duanya lebih kepada seorang Perdana Menteri dengan negarawan ulung. Ibrahim berkata, dengan pelantikan tersebut, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan lebih kerap dengan Dr. Mahathir bagi mendapatkan pandangannya mengenai keadaan semasa negara. Bagaimanapun kata beliau, Najib tidak perlu mengikut kesemua pandangan dan nasihat Dr. Mahathir kerana setiap Perdana Menteri mempunyai gaya pemerintahan dan wawasan tersendiri untuk dicapai. "Saya percaya Dr. Mahathir akan menerima pelantikan tersebut, malah bekas Perdana Menteri itu juga tidak memerlukan gaji. Saya akan bawa cadangan ini ke Parlimen bulan depan,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 260909

Lantik Mahathir Sebagai Talian Hayat Untuk Terus Mengekalkan Sekularisme

Rekod pemerintahan sekular Kapitalisme Mahathir selama 22 tahun telah terbukti kejayaannya. Berjaya dari sudut apa? Sudah pastinya dari sudut kejayaan beliau dalam meneruskan dan melangsungkan kehidupan sekular Kapitalisme ditengah-tengah kehidupan bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Beliau telah berjaya memepertahankan sistem sekular yang ditinggalkan oleh penjajah dengan sangat cemerlang. Setelah melepaskan jawatan sebagai PM pun kita melihat Mahathir masih terus lantang bersuara untuk memastikan sistem sekular yang ada tetap dipertahankan - begitu bernafsu dan sayangnya Mahathir kepada sistem tinggalan penjajah ini! Kini, para pengikut Mahathir pula bersuara dengan cadangan agar kerajaan sekular yang ada hari ini melantik beliau sebagai penasihat UMNO dan kerajaan. Relevankah cadangan tersebut? Ya sudah pasti bagi para pendokong sekular tetapi tidak bagi pencinta Islam. Hanya mereka yang terbenam di dalam lumpur dan kekotoran sekular sahaja yang menginginkan agar tokoh sekular Kapitalisme seperti Mahathir ini terus diberikan peranan agar dapat sama-sama membantu memperpanjangkan tempoh hayat kehidupan Kapitalisme ini. Bergembiralah kuffar Barat dengan komitmen yang ditunjukkan oleh umat Islam itu sendiri! Firman Allah SWT “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”. [TMQ A-li 'Imraan (3) : 85].

Hukum Memutuskan Hubungan (Muqatha’ah) Sesama Muslim...

Soalan:
Apakah hukumnya mereka yang memutuskan hubungan atau memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim? Adakah dengan muqata’ah tersebut bererti dalam masa yang sama mengkafirkan seseorang? Jika tindakan tersebut dikaitkan dengan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan beberapa orang sahabat, adakah tindakan tersebut hanya boleh dilakukan di peringkat negara atau ia merupakan hak semua orang?

Jawapan:
Pertama, perlu diketahui bahawa memutuskan hubungan ataupun memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim merupakan hukum syarak yang dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah tertentu yang terjadi dalam hubungan sesama Muslim. Hukum ini tiada kaitannya dengan persoalan takfir (mengkafirkan) seseorang Muslim. Dalam erti kata lain, orang yang diboikot tidak jatuh kafir. Sebaliknya dia kekal Muslim, cuma disebabkan oleh tindakan tertentu yang dilakukannya, maka hukum muqatha’ah itu dikenakan terhadapnya.

Dalam konteks inilah Ibn Bathtal menyatakan bahawa Allah telah mengatur hukum-hukum yang mengandungi kemaslahatan bagi hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui tentang urusanNya, maka manusia harus tunduk kepada perintahNya dalam urusan tersebut. .[1]

Kedua, terdapat hadis yang melarang perbuatan memutuskan hubungan (muqata’ah) dengan sesama Muslim, antara lain sabda baginda sallallahu ‘alaihi wassalam:

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثِ لَياَلٍ (رواه البخاري)

“Tidaklah halal bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya lebih dari tiga malam.” (HR Bukhari)

Maksud ‘an yahjura’ atau ‘masdar-nya hajr’ adalah lawan kepada perkataan ‘wasl’, atau memutuskan hubungan.[2] Secara harfiah (mantuq), hadis ini melarang seseorang Muslim daripada memutuskan hubungan sesama Muslim lebih daripada tiga hari. Daripada hadis ini juga diketahui bahawa berdasarkan mafhum mukhalafah, bahawa memutus hubungan sesama Muslim dibolehkan kurang daripada tiga hari. [3]

Sungguhpun demikian, larangan tersebut dikecualikan terhadap orang yang melakukan maksiat. Dalam kitab Fath al-Bari: Syarh Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bab: Ma Yajuzu min al-Hijran liman ‘Asa (Memutus Hubungan yang Diperbolehkan terhadap Orang yang Bermaksiat) menyatakan: Dengan penjelasan ini, beliau (al-Bukhari) ingin menjelaskan hukum memutuskan hubungan yang diperbolehkan. Kerana umumnya, larangan tersebut sebenarnya hanya berlaku untuk orang yang diputuskan hubungannya tanpa alasan yang dibenarkan syariat. Oleh itu, jelaslah bahawa dibenarkan memutuskan hubungan terhadap orang yang melakukan maksiat. [4]

Ibnu al-Mulhib menyatakan bahawa memutuskan hubungan yang dibenarkan itu mempunyai kepelbagaian, sesuai dengan kadar kesalahannya. Bagi orang yang melakukan maksiat, maka dibolehkan untuk memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengannya, sebagaimana dalam kisah Ka’ab bin Malik dan dua orang temannya (Murarah dan Hilal). Sekiranya marah terhadap keluarga atau kawan, boleh memutuskan hubungan dengan tidak menyebut nama atau bermasam muka, tetapi masih bercakap, memberi dan menjawab salam kepadanya. [5]

Menurut at-Thabari, peristiwa yang terjadi terhadap Ka’ab bin Malik adalah dasar untuk memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat. [6] Dalam huraiannya, Ibnu Hajar mengulas kenyataan Abdullah bin Zubair, ketika dikenakan muqatha’ah oleh ‘Aishah, “ fainnahu la yahillu laha qathi’athi (Maka, tidak halal baginya untuk memutus hubungan kekeluargaan denganku), dengan menyatakan bahawa: Jika memutuskan hubungan denganku sebagai hukuman atas dosaku, maka ia pasti akan berpanjangan. Jika tidak, maka memutuskan hubungan secara berkekalan itu akan menyebabkan terputusnya silaturrahim. Menurut Ibnu Hajar, alasan ‘Aisyah berbuat demikian adalah kerana Abdullah bin Zubair yang masih merupakan anak saudaranya itu telah melakukan kesalahan yang besar. Menurutnya lagi, ‘Aisyah melakukan demikian kerana tindakan memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengan Abdullah bin Zubair itu memang dibolehkan, sebagaimana yang dilakukan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan dua orang temannya sebagai hukuman terhadap kemaksiatan mereka. [7]

Oleh itu telah difahami oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum, termasuk ‘Aisyah dan Abdullah bin Zubair bahawa tindakan Nabi terhadap Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal itu bukanlah hanya hak ketua Negara semata-mata, sebaliknya tindakan muqatha’ah yang dilakukan oleh ‘Aisyah menunjukkan bahawa tindakan tersebut boleh dilakukan oleh sesiapapun.

Imam an-Nawawi juga menjelaskan bahawa hadis yang memerintahkan untuk memutuskan hubungan dengan ahli bidaah, orang fasik [8] dan para musuh Sunnah itu begitu banyak sekali dicatatkan. Jadi menurut beliau, perbuatan memutuskan hubungan secara berkekalan turut dibenarkan. Oleh itu, larangan memutuskan hubungan dengan kaum Muslimin lebih daripada tiga hari itu tidak meliputi ahli bidaah, orang fasik dan yang seumpama dengannnya. Para sahabat, tabi’in dan generasi berikutnya sentiasa memutuskan hubungan dengan sesiapa sahaja yang melanggar sunnah atau orang yang rosak percakapannya (mafsadah).

Ibnu ‘Abd al-Barr juga menyatakan perkara yang sama bahawa para ulama’ telah bersepakat, barangsiapa yang khuatir berbicara dengan seseorang, di mana dengan berbicara dengannya itu boleh menyebabkan rosak agamanya atau memudaratkan urusan dunianya, maka dia dibenarkan untuk memutuskan hubungan dengan orang tersebut. [9]

Ketiga, apabila menyentuh berkenaan perbuatan memberi dan menjawab salam dalam konteks muqatha’ah, maka hukumnya dikembalikan kepada alasan mengapa dikenakan muqatha’ah tersebut. Jika alasannya bukan atas sebab maksiat, sebaliknya disebabkan oleh kerana marah terhadap keluarga atau teman, maka tetap diperintahkan untuk memberi dan menjawab salam. [10] Namun jika alasan muqatha’ah berpunca daripada perbuatan maksiat yang dilakukan, dan si pelaku itu jatuh sebagai seorang fasik, maka ketetapan memberi dan menjawab salam tidak diperintahkan. Dalam kitab Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Sayid Salih bin Ahmad al-Idrus menjelaskan: Salam kepada orang fasik, ahli bida’ah, dan pelaku dosa besar tidak disunahkan. Bahkan, tidak sepatutnya memberi dan menjawab salam mereka. [11] Imam as-Suyuthi juga menyatakan pandangan yan hampir sama. [12]

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh at-Thabari, dasarnya hendaklah dikembalikan kepada tindakan Nabi sallallahi ‘alaihi wassalam dan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang tidak memberi dan menjawab salam Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal. Inilah dalil dalam memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat [13]. Wallahu’alam
________________________________________
[1] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Saudi, t.t., juz III, hal. 2671.
[2] Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., juz V, hal. 250.
[3] Imam an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., juz XVI, hal. 117.
[4] Ibn Hajar al-Asqalani, Ibid, juz III, hal. 2671.
[5] Ibid, juz III, hal. 2671.
[6] Ibid, juz III, hal. 2671.
[7] Ibid, juz III, hal. 2670-2671.
[8] Tentang Ahli bidaah dan penyerang sunnah sudah jelas, maka tidak perlu dijelaskan lagi. Tetapi berkenaan orang fasik, penting untuk dijelaskan. Perkataan fasaqa, menurut Ibn Manzur, ertinya keluar dari kebenaran. Menurut istilah ahli fikih, fisq (masdar dari fasaqa), adalah tindakan melakukan dosa besar dengan sengaja, atau terus-menerus melakukan dosa kecil, yang tidak perlu ditakwilkan lagi. Tidak taat kepada amir adalah bentuk kemaksiatan yang disamakan dengan tidak mentaati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam (HR Ahmad, Ibn ‘Iwanah, Ibn Hibban dan Ibn Huzaimah). Dengan kata lain, tidak taat kepada amir merupakan dosa besar. Tindakan tidak taat kepada amir itu saja, menurut definisi fasik di atas, sudah cukup menjadikan pelakunya sebagai orang fasik, apatah lagi ketidaktaatan tersebut dilakukan dengan bangganya tanpa perasaan bersalah. Bahkan, kemudian menyebarkan fitnah bahawa amirnya bermaksiat. Bukan setakat itu, orang tersebut juga memprovokasi orang lain untuk melawan amirnya, sebagaimana yang dia lakukan. Maka, orang tersebut telah melakukan tiga dosa besar sekaligus: (1) Dosa tidak taat kepada amir; (2) Dosa memfitnah amir dengan sesuatu yang sebenarnya tidak dia lakukan; (3) Dosa memprovokasi orang lain untuk melakukan tentangan terhadap amirnya. Terhadap orang seperti ini berlaku hukum muqatha’ah di atas, termasuk perintah untuk memeriksa semua informasi yang bersumber dari orang tersebut. Lihat, Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, juz X, hal. 308; Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat al-Fuqaha’, Dar an-Nafais, Beirut, cet. I, 1996, hal. 315.
[9] Lihat, Tanwir al-Hawalik, juz I, hal. 655.
[10] Ibid, juz III, hal. 2671.
[11] Al-‘Alim al-Usuli as-Sayid Shalih bin Ahmad al-‘Idrus, Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Mathba’ah ar-Rushaifah, Malanj, Indonesia, t.t., hal. 9.
[12] Lihat, Syamsuddin ar-Ramli, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, t.t., juz XXVI, hal. 366.
[13] Lihat, Ibn Hajar, Ibid, juz III, hal. 2671.

Sumber : www.hizbut-tahrir.or.id

Solat Jumaat Depan Capitol Hill Membuktikan Apa???


Solat Jumaat depan Capitol Hill

BERIBU-ribu umat Islam Amerika Syarikat mengadakan solat Jumaat di hadapan bangunan Capitol Hill di Washington kelmarin, bertujuan memberi inspirasi kepada penganut Islam dan juga bukan Islam di negara itu.
Penganjur acara itu, Abdul Malik berkata, umat Islam datang dari seluruh AS, malah ada antaranya dari Britain dan Kanada.

Menurutnya, acara itu bukan suatu bentuk protes, sebaliknya hari untuk bersembahyang, mengabdikan diri kepada Tuhan dengan doa supaya semua lapisan rakyat Amerika boleh hidup bersama untuk kemajuan sejagat.

Sumber: Mingguan Malaysia: 26/09/09

A Picture Tells A Thousand Words

Pelbagai persepsi boleh timbul apabila kita melihat gambar di atas. Yang pasti, ada yang akan merasa bangga dengan perkembangan Islam dan keadaan baik yang dinikmati oleh umat Islam di AS. Persoalannya, apakah cukup dengan berlangsungnya solat Jumaat di depan Capitol Hill pada hari Jumaat lepas akan dapat memadamkan kejahatan AS kepada umat Islam di seluruh dunia? Apakah ini propaganda yang dirancang dan dimainkan oleh AS untuk terus menipu umat Islam? Yang pastinya kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh AS selama ini kepada umat Islam tidak akan dapat ditutup dan dihapuskan begitu sahaja.

Wahai umat Islam! Apakah kamu lupa dengan kebiadaban AS di Iraq, Afghanistan dan di tempat lainnya. Sudah berapa ramai nyawa umat Islam yang menjadi mangsa korban kejahatan AS dan sekutu-sekutunya. Berapa banyak masjid yang telah dihancurkan oleh tentera AS laknatullah di negara yang dijajah oleh mereka. Wahai umat Islam! Amat malang sebenarnya bagi umat Islam yang terleka dengan tipu muslihat yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam. Fahami dan kenalilah AS dengan pandangan ideologi Islam dan pasti kamu akan mengetahui siapa AS sebenarnya. Bau busuk bangkai Kapitalisme tidak akan dapat ditutup dan dihilangkan dengan sekeping gambar!!

Pesta Tanglung : Acara Tahunan Sekular 1Malaysia...


Pesta Tanglung 1Malaysia akan dijadikan acara tahunan

KUALA LUMPUR: Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur akan dijadikan acara tahunan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM250,000 kepada Kementerian Pelancongan untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menganjurkan pesta tersebut. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur 2009 di Pasar Seni di sini pada malam Sabtu. "Saya berharap acara ini akan dilihat sebagai satu lagi jambatan yang boleh memperkukuhkan konsep 1Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Pesta Tanglung 1Malaysia.

Jelasnya, beliau mahu melihat lebih banyak produk pelancongan di Malaysia yang lain akan turut dikenali selepas ini. "Kita menawarkan budaya,adat, kecantikan semula jadi dan hospitaliti kita yang mesra di mana Malaysia terkenal kerananya. "Acara hari ini merupakan permulaan siri baru acara pelancongan," katanya. Najib berkata, festival itu juga boleh dijadikan sebagai warisan kepada negara serta menjadi kekuatan dan aset utama untuk melonjakkan negata ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan. "Festival ini dilihat sebagai satu lagi produk pelancongan kerana ia pasti dapat menarik lebih ramai pelancong," katanya. Pada majlis itu, Najib turut menyertai perarakan tanglung bermula dari Jalan Hang Kasturi, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Hang Lekir dan Jalan Petaling. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan. Sambutan Pesta Tanglung tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Perdana Menteri turut memotong kuih bulan berbentuk 1Malaysia seberat 80 kilogram selepas upacara perasmian berlangsung. Majlis itu dianjurkan Kementerian Pelancongan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama 100 badan bukan kerajaan. Kemeriahan pesta tanglung yang diadakan buat pertama kali itu itu diserikan dengan tanglung gergasi setinggi 3.05 meter berbentuk logo 1Malaysia yang dinyalakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dengan tarian serta pukulan gendang pelbagai kaum. Ng ketika berucap pada majlis itu berkata sambutan pesta tanglung itu merupakan tanda komitmen semangat perpaduan gagasan 1Malaysia yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap kaum Tionghua. Beliau berkata pesta seperti itu mampu menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia. Lima jalan di ibu negara, Jalan Hang Lekir, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi dan Jalan Petaling turut ditutup bagi membolehkan perarakan pesta tanglung berjalan lancar. Tanglung dan kuih bulan merupakan perayaan tradisi bagi meraikan festival tahunan kuih bulan yang disambut pada 3 Oktober ini.

Sumber: mStar Online 26/09/09

Dalil 1Malaysia Digunapakai Untuk Kembali Kepada Fitrah Sekular

Baru seminggu umat Islam melaungkan takbir, tahmid, tahlil dan segala bentuk ucapan pengagungan kepada Allah SWT,tiba-tiba Najib menggunakan “dalil” 1Malaysia nya untuk sama-sama merayakan upacara Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur. Rupa-rupanya para pemimpin sekular in bukannya kembali kepada fitrah Islam tetapi sebaliknya mereka kembali kepada fitrah sekular.

Wahai Najib! Wahai umat Islam! Pesta Tanglung itu adalah satu bentuk hadharah yang terkait dengan akidah kufur dan tidak selayaknya kita sebagai seorang Muslim bersama merayakannya apatah lagi mempromosikannya. SubhanaAllah! Ketahuilah bahawa umat Islam hanya diperbolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam isu yang berhubungan dengan masalah keduniaan, itupun dengan syarat ianya dilakukan dalam aturan yang dibenarkan oleh syara’. Ini adala berdasarkan al-Quran surah al-Hujurat ayat 13:

"Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal." [TMQ. al-Hujurat (49): 13)

Juga berdasar al-Quran surah Mumtahanah ayat 8:

"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." [TMQ. Mumtahanah (60): 8).

Ketahuilah bahawa umat Islam tidak boleh mencampuradukkan aqidah dan peribadatan agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain, berdasarkan firman Allah SWT :

"Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku." [TMQ. al-Kafirun (109): 1-6]

Juga berdasar al-Quran surah al-Baqarah ayat 42:

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui." [TMQ. al-Baqarah (2): 42].

Justeru itu, wahai umat Islam! Tuntutan wajibnya menegakkan Daulah Islam saat ini adalah sesuatu yang amat mendesak kerana dengan berdirinya Khilafah itu maka warganegara Islam mahupun yang bukan Islam akan diatur dengan peraturan Islam yang mulia. Di dalam Daulah Islam inilah negara akan memperjelaskan kepada orang-orang kafir akan kedudukan mereka sebagai warganegara zimmi yang perlu terikat dengan peraturan negara. Islam tidak menghalang kafir zimmi untuk mengamalkan dan meraikan perayaan agama mereka dalam batasan yang dibenarkan oleh syara’. Berbeza dengan apa yang kita lihat hari ini, hanya dengan “dalil” 1Malaysia maka umat Islam kembali semula kepada fitrah sekular.

Wahai Najib kemuliaan kamu hanya akan terserlah apabila kamu kembali fitrah Islam!

Banteras HPV Atau Zina???

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Pelbagai pihak menyokong pemberian suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun di negara ini namun pada masa yang sama mengingatkan mereka bahawa ia bukan lesen untuk mengamalkan seks bebas. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, kajian menunjukkan hubungan seks pada usia terlalu muda menjadi antara punca seseorang wanita mendapat kanser pangkal rahim.

"Wanita yang kerap bertukar-tukar pasangan berdepan dengan risiko lebih tinggi mendapat kanser pangkal rahim disebabkan jangkitan virus HPV yang hanya tersebar melalui hubungan seks.

"Justeru, saya berharap inisiatif kerajaan ini tidak disalahtafsirkan oleh masyarakat sehingga mereka tidak mengendahkan bahaya hubungan seks bebas sekali gus menyebabkan ia semakin berleluasa di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, mulai tahun depan, seramai 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberi suntikan pelalian HPV secara percuma bagi mencegah penularan kanser pangkal rahim.

Menurut beliau, pemberian vaksin berkenaan adalah di bawah Program Pelalian HPV yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan melibatkan kos RM150 juta setahun.

Sumber: Utusan Malaysia 27/09/09

Zina Tidak Akan Terhenti Dengan Memberi Suntikan HPV

Aduhai umat! Masalah utama dalam hal ini adalah hubungan seks bebas yang menjadi penyebab penularan virus HPV mengakibatkan kanser pangkal rahim, bukan masalah kanser rahim itu sendiri. Hubungan seks bebas itulah yang sebenarnya perlu ditangani dengan betul agar penyelesaiannya tuntas. Suntikan HPV bukan penyelesaian masalah seks bebas, bahkan sebenarnya suatu bentuk pencegahan simptom kanser pangkal rahim.

Mengapa keadaan ini berlaku? Ini adalah kerana kekeliruan umat menghadapi permasalahan hidup yang tidak diatur dengan syariat Islam. Sudah terlalu lama kita tidak hidup dengan syariat Islam. Kita hanya mengamalkan sebahagian kecil sahaja syariat Islam terutama dalam hubungan ritual sedangkan dalam hubungan sesama manusia kehidupan kita diatur dengan sistem selain Islam. Lihat sahaja sistem sosial kapitalis yang menyediakan ruang yang sangat bebas untuk menyemarakkan kemungkaran hari ini! Begitu juga kejahilan umat dalam memahami inti ajaran Islam yang murni serta tiadanya perlaksanaan hukuman yang sesuai dengan tuntutan Ilahi. Zina berpunca dari wujudnya ruang dan peluang ditambah dengan melesetnya pemahaman seseorang tentang kesan zina.

Islam sebagai syariat yang menyelesaikan masalah kehidupan manusia telah mengatur beberapa panduan agar kita hidup dalam aman dan sejahtera. Umat perlu dididik (didedahkan) dengan ilmu serta pengetahuan mengenai masalah kehidupan, misalnya zina. Islam mentarbiyyah umat dengan mantap agar wujud kesedaran serta persepsi mengenai zina yang perlu dijauhi. Dalam masa yang sama, Islam menghalalkan perkahwinan bagi manusia menzahirkan naluri seksualnya termasuk mekanisme perkahwinan yang mudah, tidak seperti yang berlaku sekarang. Mekanisme ini, yang juga melibatkan faktor ekonomi dan persepsi masyarakat tentang perkahwinan akan memastikan agar manusia faham mengenai sistem sosial Islam. Begitu juga dengan aktiviti nahi mungkar di mana setiap ahli masyarakat yang bertakwa wajib melaksanakannya. Pihak berkuasa pula wajib menjalankan hudud (‘uqubat) Allah ke atas pesalah zina agar ia menjadi penghukum dan pengajaran bagi manusia.

Sungguh aneh sekali keadaan hari ini yang sudah terlalu jauh menyimpang dari kaedah penyelesaian permasalahan hidup Bahkan, dalam penyelesaian yng danjurkan wujud pula kos yang sangat tinggi yang tentu sekali menguntungkan pihak tertentu, namun tetap tidak akan menyelesaikan masalah sebenar. Zina akan terus berleluasa tanpa penerapan Islam sepenuhnya. Sampai bilakah umat ini perlu sedar dari terus ditenggelami arus jahiliyyah ini??

Indek Rasuah Meningkat. Simptom Kepada Penyakit Kapitalisme!!!


Rasuah: Malaysia merudum lagi, negara Islam tercorot

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45. Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah. Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173. Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura. Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000. Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu. Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik. Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih. Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati. Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu. _

Sumber : HarakahDaily, 26/09/09

Indek Rasuah Meningkat. Simptom Kepada Penyakit Kapitalisme

Peningkatan indeks rasuah ini memberikan gambaran awal bahawa di Malaysia nampaknya semakin ramai yang mengundangkan laknat Allah dan RasulNya. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

"Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum." [HR al-Tarmizi, Ahmad & Ibnu Hibban].

Dari Ai'syah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah ." [HR al-Bazzar & Abu Ya'la].

Dari Thauban katanya:

"Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dan perantaranya," [HR Ahmad & Hakim].

Gejala rasuah ini sebenarnya adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan dunia Kapitalisme. Kewujudan rasuah dalam dunia Kapitalisme adalah ibarat watak “upin’ dan “ipin” - sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Laporan indeks rasuah ini memperlihatkan kepada kita bahawa pemikiran masyarakat Malaysia telah banyak dicemari dengan Kapitalisme di mana ramai meletakkan manfaat sebagai sasaran utama dalam kehidupan mereka. Islam pula meletakkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat kebahagian kehidupan seseorang itu. Persoalannya, mengapa gejala rasuah ini nampaknya semakin membarah di negara ini? Hakikatnya, para pemimpin negara dan mereka yang memegang kekuasaan pada hari ini kebanyakannya adalah orang Islam?

Nampaknya kewujudan SPRM masih gagal untuk membendung gejala ini dari terus membarah dalam masyarakat. Undang-undang dan hukuman yang ada pada hari ini tidak mampu untuk mencegah masyarakat dari melakukan perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan rasulNya ini. Ini memberikan kepada kita petanda dan petunjuk yang jelas bahawa sebenarnya pemerintah sekular yang ada pada hari ini telah terbukti gagal dan akan pasti gagal untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang menolak rasuah. Yakinlah wahai umat Islam! Selagi Islam tidak dijadikan asas untuk mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara maka selama itulah penyakit rasuah ini akan terus subur. Hanya Daulah Khilafah sahajalah yang akan bersedia untuk menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan di dunia ini. Sudah tiba masanya untuk umat Islam yang mencintai dan ingin menggapai redha Allah SWT agar berusaha untuk mengembalikan Khilafah Islam untuk kedua kalinya. Ini adalah perkara yang dijanjikan dan merupakan kewajiban ke atas seluruh umat Islam saat ini.

Subsidi Bukanlah Penyelesaian Menangani Kemiskinan...

Subsidi beras golongan miskin

BATU GAJAH 24 Sept. - Mulai 1 Disember ini kerajaan akan memberikan subsidi beras secara terus kepada golongan berpendapatan rendah melalui penggunaan sistem kupon.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan kaedah baru pemberian subsidi tersebut.

Katanya, bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah apabila polisi baru itu dilaksanakan, kementerian akan menjalankan projek perintis sistem kupon pada November ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 25/09/09

Banteraslah Kemiskinan Dengan Cara Islam

Memang tidak dinafikan bahawa pemberian subsidi adalah baik jika dilihat dari aspek amalannya. Islam juga mengiktiraf pemberian subsidi dari negara kepada rakyatnya, kerana ia memang suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh penguasa kaum Muslimin. Tujuan pemberian subsidi juga adalah untuk mengurangkan jurang kekayaan di antara rakyat di dalam Daulah. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian”. [TMQ al-Hasyr(59) : 7]

Sistem Islam dengan Sistem Kapitalisme amat berbeza dalam menangani kemiskinan. Sistem Kapitalis menganggap subsidi merupakan suatu kebajikan dan ihsan dari negara, walhal ia merupakan tanggungjawab yang wajib mereka lakukan (sebagai penguasa). Belum ada fakta yang mengungkap bahawa Sistem Kapitalis mampu menangani kemiskinan. Di mana sahaja, di seluruh dunia kita dapat menyaksikan bahawa yang kaya semakin kaya, dan yang miskin semakin miskin. Di mana silapnya? Jawapan yang paling mendasar adalah sistem Kapitalis itu sendiri yang memang tidak mampu menangani jurang kemiskinan. Lebih buruk, subsidi kerap dilihat di dalam sistem ini sebagai suatu yang tidak wajar. Akibatnya, meskipun subsidi diberikan, jumlahnya tidak mencukupi untuk mengatasi kemiskinan. Malah hakikatnya, dalam sistem ini, subsidi itu sendiri tidak dilihat sebagai satu penyelesaian untuk masalah kemiskinan. Meskipun terdapat beberapa mekanisme sosialisme bagi menampal sulam kelemahan di dalam Sistem Kapitalis, pada hakikatnya sistem ini tidak dicipta untuk menangani masalah kemiskinan.

Berbeza dengan Sistem Kapitalis, Islam memandang serius masalah kemiskinan. Pada dasarnya ada 4 langkah yang digariskan oleh syariat Islam untuk menangani kemiskinan secara hakiki. Pertama, Daulah Islam wajib memastikan warganegaranya terpenuhi keperluan asasnya (primary needs) berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kedua, Daulah akan memastikan pengaturan pemilikan yang mencakup 3 aspek; jenis-jenis pemilikan, pengelolaan pemilikan dan pengagihan pemilikan. Ketiga, Daulah wajib menyediakan pekerjaan bagi seluruh warganegara. Keempat, Daulah wajib memberi jaminan pendidikan yang sama kualitinya secara percuma, tanpa adanya diskriminasi. (baca selanjutnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/203-sn007-kemiskinan-atau-pemiskinan).

Dengan penerapan Islam yang kaffah, bukan hanya kemiskinan yang akan dapat ditangani, Rahmat Allah akan tersebar ke seluruh alam. Bukankah ini yang kita sebagai umat Muhammad khususnya dan umat manusia umumnya inginkan?

Terus Sokong BN Bagi Meneruskan Pemerintahan Sekular???

Sultan Pahang mahu rakyat terus sokong kerajaan BN

KUALA KRAU: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka. Baginda bertitah, rakyat perlu terus bersama kerajaan kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka.

Sambil memberi contoh pembinaan jambatan Kuala Krau merentangi Sungai Pahang yang berharga RM64 juta, baginda bertitah usaha itu adalah agenda pembangunan mampan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di kedua-kedua belah sungai berkenaan. "Jambatan Kuala Krau berfungsi memendekkan perjalanan di antara Bandar Tun Razak, Jengka dengan Kuala Krau kepada 20 minit berbanding satu jam sebelum ini yang jaraknya sejauh 55 kilometer.

"Di samping itu, jambatan ini juga akan menjadi pemangkin kemajuan ekonomi kepada penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Jerantut dan Temerloh selepas perjalanan dipendekkan kepada 22 kilometer saja dengan memberi manfaat kepada 60,000 penduduk dari daerah Jerantut, Temerloh dan Maran," titahnya kepada pemberita selepas melawat tapak jambatan Kuala Krau di sini, semalam.

Baginda meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang yang melalui jambatan berkenaan.

Sumber : Berita Harian, 24/09/09

Terus Sokong BN Bagi Meneruskan Pemerintahan Sekular?

Isu projek dan pembangunan masih terus digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Ini termasuklah kenyataan Sultan Pahang di atas yang secara terbuka meminta rakyat untuk terus menyokong BN agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka. Persoalannya ialah apakah jika selain BN yang memerintah tidak akan ada pembangunan dan projek-projek untuk keselesaan rakyat? Apakah selain dari kerajaan BN tidak akan mampu memerintah dengan baik? Apa erti slogan pembangunan jika rakyat terus dipaksa dan terpaksa membayar nilai pembangunan itu dengan pelbagai bentuk cukai dan yang seumpamanya. Bukankah itu bermakna kerajaan telah berniaga dengan rakyat? Dahulu mungkin rakyat boleh digula-gulakan dengan projek-projek pembangunan dan yang seumpamanya tapi kini isu seperti ini sudah menjadi isu basi yang tidak akan mampu memperbodohkan rakyat selama-lamanya.

Dalam Islam, pembangunan dan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat adalah merupakan tanggungjawab pemerintah yang wajib ditunaikan oleh sesiapa sahaja dari mereka yang memerintah dan yang memegang kekuasaan di mana kelak mereka ini akan pasti dipersoalkan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin . Dia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki adalh pemimpin pada ahlinya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya, dan khadam itu menjadi pemimpin urusan harta tuannya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan dia ditanya tentang rakyatnya, maka semua kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang rakyatnya."

Oleh kerana itu, persoalan projek, pembangunan dan yang seumpamanya ini tidak selayaknya dijadikan suatu alasan untuk terus mengelirukan dan mempermainkan rakyat. Isu sebenarnya di sini ialah persoalan sistem yang diterapkan oleh sesuatu pemerintah an itu. Apakah sistem tersebut adalah sistem Islam atau sistem kufur? Hakikatnya, isu inilah sebenarnya yang akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT di hari akhirat. Atas perkara inilah maka seluruh umat Islam seharusnya sedar akan kewajiban mereka untuk menuntut dan mendesak pemerintah umat Islam yang ada pada hari ini agar menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Wahai umat Islam! Apakah kalian ingin terus mengekalkan pemerintahan yang akan terus menerapkan sistem taghut sebagaimana yang ada pada hari ini? Bukankah kamu telah diperingatkan oleh Allah SWT dengan firmanNya:

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An Nisaa' (4) : 60].

Wahai umat Islam! Apakah hati-hati kalian tidak tergugah dengan peringatan dari Allah SWT ini?

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul diantara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa' (4) :65].

Wahai umat Islam! Sudah sampai masanya buat kalian terjaga dari mentera sihir yang melingkari diri kalian sejak dahulu lagi dan berjuang bagi menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah yang akan memayungi dan menyebarkan rahmat Islam ke seluruh alam.

Padahnya Bila Berkawan Dengan Parti Sekular Dan Kufur ...

Pas Selangor kaji kedudukan dalam pakatan pembangkang

SHAH ALAM 24 Sept. – Pas Selangor sedia mengkaji secara terperinci cadangan mana-mana wakil rakyat yang mahu parti itu melihat semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang di negeri ini. Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan mengadakan satu menyuarat tergempar dalam masa terdekat ini untuk membincangkan perkara tersebut. Beliau berkata, pihaknya juga amat kesal, kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berikutan tegurannya mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat). Menurut beliau, lebih mengecewakan ialah kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang amat mengejutkan parti kerana beliau sebagai pemimpin Pas negeri harus menyokong pendirian parti.

“Jika mereka mahu Hassan letak jawatan sebagai Exco dan Pesuruhjaya di negeri ini bermakna mereka mahu Pas keluar dari negeri ini kerana Hassan adalah Pesuruhjaya kami. “Mereka semua ini hanya tahu mengeluarkan kenyataan membuta tuli tanpa menyelidik dahulu apa yang sebenarnya Hassan maksudkan. Setahu kami Hassan bermaksud baik bukan mempertikaikan kewujudan dan kuasa Selcat. “Kami juga tidak faham atas kapasiti apa Khalid mengeluarkan kenyataan dan akan menyelidiknya sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini. Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa wakil rakyat yang mahu Hassan keluar daripada pakatan pembangkang negeri jika tidak lagi mampu bekerjasama dengan wakil rakyat DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Desakan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini itu dibuat beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Khalid, Mohd. Azmi dan Santiago. Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin dalam kenyataannya yang dikeluarkan pagi ini menegaskan, Pas Selangor tetap dengan pendiriannya mendesak proses pendengaran ke atas pegawai tinggi kerajaan yang dijalankan Selcat dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai yang terlibat dan dapat mengelak daripada diaibkan. Ini kerana kata beliau, Selcat dan kerajaan negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada ‘anugerah penyapu’ ciptaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sumber : Utusan Malaysia, 24/09/09

Padahnya Bila Berkawan Dengan Parti Sekular Dan Kufur

Nampaknya pertikaian dan pertembungan isu di antara anggota parti-parti PR terus berlarutan dan semakin bertambah panas. Dari satu isu ke satu isu yang lain. Parti Islam SeMalaysia (PAS) nampaknya terus bercakaran dengan anggota sekutunya dalam PR. Adalah tidak menghairankan ini berlaku kerana kerjasama antara gabungan dalam PR bukanlah di atas dasar akidah Islam tetapi adalah di atas dasar manfaat semasa. Dan kini kita dapat melihat natijahnya. PKR dengan idea sekularnya. DAP dengan idea kufurnya dan PAS tersepit di tengah-tengah sekular dan kufur untuk membawa idea Islamnya. Dan kita dapat melihat PAS juga dalam sesetengah pendekatannya terpaksa dan dipaksa tunduk dengan kehendak ahli sekutunya yang lain. PAS yang bersetuju dengan idea demokrasi akan pasti kalah dan mengalah kerana dalam percaturan demokrasi di dalam sistem kufur ini suara majoriti adalah penentu mutlak kebenaran dan hakikatnya PAS yang mewakili suara Islam sudah pasti tewas dengan suara sekular PKR dan suara kufur DAP. Apakah PAS masih percaya dengan penipuan demokrasi ini. Sampai bila? Ini belum lagi halangan dari suara sekular di luar PR yang datang dari UMNO dan sekutu-sekutunya di dalam BN!

Sebagai suatu muhasabah kepada parti Islam di mana sahaja mereka berada, kembalilah kepada thariqah Rasulullah SAW dalam usaha kamu untuk memperjuangkan Islam. Janganlah kamu tertipu dengan demokrasi yang dicipta dan diberikan oleh Barat kepada dunia Islam hari ini sebagai satu bentuk penyesatan politik untuk terus menjauhkan umat Islam dari landasan thariqah Rasulullah SAW yang sebenarnya.

Wahai pencinta-pencinta Islam! Kalian bersungguh-sungguh mencontohi kaifiah solat dan haji serta ibadah-ibadah Rasulullah SAW yang lain namun kenapakah kamu tidak berusaha untuk mencontohi nabi SAW dalam perjuangan kalian untuk menegakkan Islam?

Masih Mengharapkan OIC???



OIC pentas tangkis tohmahan Barat - Tonjol imej Islam elak dituduh pelampau : Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bukan sekadar platform kerjasama di kalangan ummah tetapi juga pentas pertahanan bagi menangkis tohmahan yang mengaitkan Islam dengan kegiatan pelampau dan Islamofobia.

Perdana Menteri berkata, tanggapan negatif dan penghinaan terhadap Islam yang semakin meluas itu bertambah buruk terutama terhadap umat Islam yang tinggal di negara Barat. Katanya, menjadi tanggungjawab ummah untuk menonjolkan imej Islam yang sebenar dengan menekankan nilai universal, pencapaian dan warisan yang kaya dalam agama suci itu yang mengajar umatnya bertoleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain.

"Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan OIC ini, saya mengajak semua umat Islam di seluruh dunia memperbaharui ikrar kita dan bergerak bersama sebagai satu organisasi demi pencapaian dan kepentingan ummah.

"Malaysia akan terus bekerjasama dengan OIC untuk menggalakkan keamanan dan keselamatan di dunia, terutama membabitkan isu berkaitan ummah," katanya dalam mesej khas ulang tahun ke-40 penubuhan OIC di sini, semalam. Najib berkata sebagai pertubuhan yang melindungi kepentingan umat Islam, ia aktif memainkan peranan dalam mempromosi kegiatan bagi mempertingkat kerjasama dan penyelarasan di kalangan 57 negara anggotanya yang mempunyai 1.5 bilion penduduk.

Bagaimanapun katanya, dunia hari ini berbeza berbanding 40 tahun penubuhannya, yang menempuh pelbagai cabaran bagi memastikan OIC terus kekal relevan dalam dunia globalisasi, teknologikal dan tanpa sempadan.
"Anggotanya mesti bekerjasama, memaksimumkan segala sumber yang ada secara bersepadu untuk kepentingan dan manfaat ummah. OIC mesti mengenal pasti cabaran baru, era selepas 11 September," katanya.

Perdana Menteri turut meminta negara anggota OIC supaya bersama-sama membantualt menghapuskan kemiskinan yang masih membelenggu jutaan umat Islam di seluruh dunia. Malaysia sebagai anggota pengasas pertubuhan itu, katanya, turut memainkan peranan penting, tidak terhad mengenai isu politik semata-mata tetapi turut memberi perhatian kepada isu ekonomi dengan pendekatan yang praktikal.

"Sehingga hari ini, kerajaan Malaysia tetap komited bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan menggalakkan dagangan di kalangan negara anggota OIC walaupun potensi dagangan pada masa ini berada pada tahap 16.7 peratus," katanya.

Sumber : Berita harian, 24/09/09

Masih Mengharapkan OIC?

Apakah Najib sedang bermimpi di siang hari? Sudah 40 tahun OIC berdiri dan selama itu jugalah nasib umat Islam tidak berubah. Hari ini kita dapat menyaksikan darah umat Islam terus ditumpahkan oleh AS, Israel, NATO dan sekutu-sekutunya dipelbagai wilayah umat Islam. Apa yang telah dilakukan oleh OIC? Jika ada kejadian yang menimpa umat Islam seperti serangan Israel ke atas umat Islam di Palestine contohnya, maka para pemimpin OIC yang bacul dan penakut ini hanya akan mengadakan sidang tergempar, mengeluarkan resolusi, mengeluarkan kutukan dan kecaman. Selepas itu mereka akan kembali ke istana-istana mewah mereka, tertipu dengan helah dunia yang menipu. Amat hina apa yang dilakukan oleh para pemimpin OIC ini sebenarnya.

Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa kewujudan OIC itu hakikatnya adalah mangkin yang memecah belahkan umat Islam yang dipisah-pisahkan kepada banyak negara-negara ashobiyyah. Sekiranya ada isu yang berlaku di dunia umat Islam seperti di Iraq dan yang seumpamanya maka para pemimpin sekular OIC ini akan mula menyibukkan diri mereka bagi menggambarkan seolah-olah mereka begitu prihatian terhadap nasib umat Islam tetapi hakikatnya mereka hanya akan mengeluarkan resolusi dan selepas itu mereka tidak akan berbuat apa-apa. Mereka tidak berani bertindak terhadap musuh umat Islam kerana mereka sebenarnya adalah boneka kepada musuh Islam itu sendiri.

Para pemimpin OIC ini adalah seperti musang berbulu ayam. Mereka berperwatakan seolah-olah menjaga kepentingan umat Islam namun setiap tindakan yang mereka ambil, mereka akan pastikan agar tuan mereka (AS dan Barat) tidak terusik kepentingannya. Umat Islam akan terus ditimba musibah jika terus mengharapkan OIC. Oleh kerana itu wahai umat Islam, apa yang kalian perlukan adalah seorang Khalifah dan bukannya OIC bagi menangkis tohmahan Barat. Wahai Najib, fikirkanlah!!!

Wajah Parti Politik Sekular...


Pilih calon bersih di Bagan Pinang jika mahu menang besar - Tun Mahathir

SEREMBAN 22 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Visi Dan Misi Parti Sekular Sangat Hodoh

Membaca komen Dr. Mahathir Mohamad di atas sudah cukup memberi gambaran yang jelas tentang visi dan misi sebuah parti politik sekular. Tujuan parti politik yang didirikan oleh mereka, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja dan menjalankan sistem (sekular) yang sedia ada. Bukan untuk kepentingan rakyat! Jauh sekali untuk menerapkan Sistem Islam! Tidak percaya? Lihatlah contoh di atas. Mula-mula mereka akan mencalonkan orang yang kononnya ‘bersih’ untuk dipertandingkan. Kedua, janji-janji manis ditaburkan (untuk mengaburi rakyat).

Ketiga, kalau mereka menang, dimulailah langkah strategik untuk meneruskan polisi sekular mereka, yang sememangnya hanya ‘mengenyangkan’ perut-perut mereka sahaja. Jika kalah, mereka akan mengutuk dan mencela pihak lawan (yang menang) dengan pelbagai hujah. Kelakar bukan?

Sebagai seorang Mukmin, kita seharusnya jelas bahawa parti dan gagasan apa pun yang berjuang atas tiket Demokrasi, tidak akan sesekali mendatangkan kedamaian, kesejahteraan dan keadilan kepada manusia (khususnya rakyat jelata). Ini adalah kerana perjuangan mereka hanyalah untuk memenangi sebuah ‘pertandingan’. Setelah itu, hadiah dari kemenangan ini mereka jadikan alat untuk memuaskan hawa nafsu serakah mereka. Kalaupun ada yang ingin berjuang kerana Islam, mereka akan terperangkap dengan sistem dan kepompong politik yang ada. Walhasil, perjuangan asal terabai. Gagasan Islam pula hilang entah ke mana. Parti pula porak peranda! Ini kerana mereka akan bertungkus-lumus untuk menambat hati rakyat dengan apa yang diinginkan rakyat (semasa pilihan raya), bukan kerana syariat Islam. Inilah yang dinamakan Demokrasi?

Wahai Kaum Muslimin!

Sedarlah bahawa sudah sekian lama kita ditipu dengan ‘magic’ yang ditampilkan oleh parti-parti politik yang ada. Cukuplah dengan fakta yang begitu banyak terpampang di depan mata. Marilah kita kembalikan fokus utama kita sebagai seorang hamba di muka bumi, iaitu untuk menggapai redha Ilahi. Bukankah redha Allah SWT akan dapat digapai tatkala kita melakukan yang makruf, dan meninggalkan yang mungkar? Dan perkara makruf yang paling besar adalah dengan menegakkan semula Institusi Daulah Islamiyyah, di mana syariat Islam akan diterapkan secara menyeluruh (kaffah). Manakala kemungkaran yang terbesar pula berlaku tatkala kita tidak menerapkan Hukum Allah secara kaffah. Apa lagi jika kita tidak mahu berjuang untuk menegakkannya! Na’udzubilah Min Dzalik.

Mahkamah Khas Dan ISA Tetap Zalim!!!


Mahkamah khas ganti ISA

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar hari ini mencadangkan penubuhan mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani ancaman keselamatan.

Pada masa yang sama, katanya, undang-undang baru yang lebih adil, tegas dan menjamin hak asasi manusia perlu digubal bagi mengambil alih peranan ISA termasuk memansuhkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang tanpa melalui proses mahkamah.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Tampal Sulam Negara Sekular Adalah Biasa

Aktiviti tampal sulam dalam sebuah negara sekular adalah satu perkara yang biasa terjadi. Jika hari ini ramai yang menganggap ISA sudah tidak lagi relevan, maka Mahkamah Khas akan dijadikan sebagai alternatif untuk menggantikannya dengan sedikit modifikasi. Di masa hadapan, Mahkamah Khas ini pula akan dianggap sebagai tidak relevan seperti mana yang terjadi dengan ISA pada saat ini. Hakikatnya, perundangan apa pun yang ‘dicetak’ dalam perlembagaan sekular, ia tetap lemah dan rapuh kerana dicipta oleh akal-akal manusia yang terbatas. Ini bukan hanya terbatas pada ISA sahaja, malah terhadap kanun-kanun lain yang sudah tidak lagi relevan ketika zaman beredar dan tampuk pemerintahan pula silih berganti wataknya. Bukankah begitu?

Di dalam Islam, manusia akan dihukum dengan keadilan yang sama, berdasarkan ketentuan yang telah ditetapkan oleh As-Syaari’ (Pembuat Hukum). Mahkamah di dalam Islam terdiri dari tiga jenis iaitu, (1) Qadhi Khusumat, (2) Qadhi Muhtasib/Hisbah dan (3) Qadhi Mazhalim (baca selengkapnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/264-sn066-ombudsman-vs-sistem-mahkamah-daulah-islam) – tidak ada jenis mahkamah yang lain. Walau apa pun mahkamah yang dibentuk, direka dan dicipta di luar dari ketentuan syara’ maka ia tetap suatu kebatilan.

Adapun apa yang disebutkan oleh Dr. Chandra, “... dalam Islam sendiri pesalah atau suspek diberi ruang membela diri atau dibicarakan”, perlulah diperjelaskan bahawa Mahkamah Khas yang ingin dibentuk ini, meskipun memikul elemen ‘bela diri’ dan ‘pembicaraan’, ia adalah tetap berpandukan hawa nafsu manusia yang terus terikat dengan perlembagaan sekular. Sebaliknya, Mahkamah Islam berjalan atas asas wahyu Ilahi yang tiada cacat celanya. Dan ini adalah keadilan yang hakiki!

Wahai Manusia Yang Berakal!

Walau apa pun tindakan yang kalian lakukan, selagi mana ia tidak disandarkan pada nas Al-Quran dan As-Sunnah, maka tindakan tersebut adalah zalim dan pelakunya bermaksiat kepada Allah SWT. Allah berfirman:

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maidah (5): 45]

Realiti Tentera Malaysia Mendukacitakan...

Cepat kaya: Tentera paling ramai sertai

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Anggota pasukan keselamatan negara antara golongan paling ramai menyertai skim pelaburan cepat kaya kerana mendakwa gaji yang diterima tidak mencukupi. Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, menerusi laporan dan aduan diterima pihaknya, golongan tersebut cenderung melaburkan wang ke sebuah syarikat pelaburan kereta sewa di sini. Katanya, bagaimanapun syarikat tersebut yang tidak mempunyai lesen untuk beroperasi hanya bertahan kurang daripada lima tahun ekoran pihak berkuasa pantas menghidu sindiket penipuan mereka. “Apa yang menyedihkan, sejak syarikat tersebut didakwa atas kesalahan tidak memiliki lesen, semua anggota keselamatan yang melabur sehingga mencecah ribuan ringgit sehingga kini menjadi mangsa buruan ah long.

“Mereka meminjam dari ah long bagi menyara kehidupan keluarga ekoran wang simpanan habis digunakan selain gaji dipotong setiap bulan untuk pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Ahmad Zaki berkata, bentuk skim pelaburan yang diperkenalkan oleh syarikat berkenaan ialah skim pelaburan kereta sewa dengan pelabur perlu melaburkan wang mereka sekurang-kurangnya 30 peratus daripada harga sesebuah kenderaan yang ingin dibeli. Jelasnya, apabila para pelabur telah membeli mana-mana kenderaan dengan cara pelaburan bersama, kenderaan itu akan dikendalikan oleh syarikat berkenaan sebagai kenderaan angkutan untuk para pelancong. “Hasil penyewaan kenderaan kepada syarikat-syarikat pelancongan yang dijalankan oleh syarikat pelaburan itu kononnya diberikan kepada pelabur atau pemilik kenderaan. “Para pelabur yang hampir keseluruhannya terdiri daripada anggota keselamatan bagaimanapun mengakui menerima hasil masing-masing tetapi hanya untuk tempoh tiga tahun pertama,” kata beliau. Beliau berkata, sindiket syarikat tersebut mula dikesan ketika negara gempar dengan kes skim cepat kaya tanpa lesen dengan menahan kira-kira lima syarikat dan salah satunya adalah syarikat pelaburan itu. Kini, katanya, syarikat tersebut masih disiasat dan jika didapati bersalah akan dikenakan tindakan sewajarnya. “Tetapi bagaimana dengan nasib anggota-anggota keselamatan yang terperangkap, sehingga kini tiada pihak boleh membantu dan selesaikan masalah mereka,” ujarnya. Justeru, Ahmad Zaki berkata, pihaknya merayu pihak-pihak yang berkaitan untuk memberi peluang kepada para anggota keselamatan melabur dalam skim khas pelaburan yang lebih meyakinkan. “Mereka sepatutnya wajar dibantu kerana banyak berkorban jiwa dan raga. Mungkin antara pendekatan lain yang boleh diambil ialah dengan memberi insentif bagi pembelian barangan keperluan dan kenaikan gaji,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Wahai Tentera Umat Islam! Kemuliaan Kamu Adalah Berjihad Dijalan Allah SWT

Betapa sedihnya kita mendengar berita mengenai ramainya golongan tentera yang tertipu oleh skim cepat kaya sebagaimana yang dipaparkan di atas. Bagaimana ini boleh berlaku? Bukankah kerjaya tentera itu suatu tugas yang mulia? Wahai tentera-tentera Allah SWT! Kemuliaan kamu ialah apabila kamu berjaga malam untuk menjaga perbatasan negeri umat Islam. Kehebatan kamu ialah apabila kamu berjihad di jalan Allah SWT untuk mempertahankan darah umat Islam seperti di Iraq, Palestin, Afghanistan dan seumpamanya. Keunggulan kamu ialah apabila kamu berjihad untuk membuka dan menghancurkan halangan dakwah Islam dari sampai ke sesuatu negeri.

Namun hari ini kita melihat betapa hinanya tentera umat Islam yang telah dihinggapi pemikiran dan cara hidup sekular Kapitalisme. Amat menyedihkan apabila ramai di kalangan mereka yang terlibat dengan skim cepat kaya dan Ah Long. Bukankah skim cepat kaya itu akadnya adalah batil? Bukankah transkasi Ah Long itu mengandungi riba? Bukankah dosa riba itu sangat besar di sisi Allah SWT. Bukankah ini merupakan perkara yang cukup hina dan azab pedih menunggu para pelaku riba.

Wahai tentera umat Islam! Di hadapan kamu telah terbentang syurga Allah SWT tetapi kenapakah kamu memilih dan mengundang azab Allah SWT?

Wahai tentera Allah SWT! Jadilah kamu seperti tentera yang pernah bersama dengan Panglima Perang Islam Tariq bin Ziyad yang membuka Andalusia. Jadilah kamu seperti tentera Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds. Jadilah kamu seperti tentera yang pernah dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya membuka Kota Konstantinopel!

Itulah sebenarnya kejayaan yang hakiki yang perlu kamu rebutkan bukannya bentangan dunia yang menipu. Wahai Panglima Angkatan Tentera! Wahai Ketua KAGAT! Kamulah yang berkewajiban untuk menyuburkan ruh jihad kepada tentera umat Islam. Rebutlah peluang ini wahai Pasukan Angkatan Tentera. Kamu dan tentera yang berada di bawah kekuasaan kamu akan meraih kemuliaan sebagaimana kemuliaan yang diraih oleh tentera umat Islam terdahulu jika kamu memilih jihad fisabilillah. Bukannya terlibat dengan skim-skim yang menghinakan.

Obama Terdesak Dengan Mencabar Dunia...


Ucapan pertama Obama di PBB cabar dunia

NEW YORK 23 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam ucapan sulung beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, menyatakan komuniti global gagal memenuhi hasrat penduduknya dan membetulkan bahawa dunia bukan 'tanggungjawab AS sahaja'.

"Mereka yang pernah memarahi AS kerana bertindak bersendirian di dunia kini tidak boleh duduk diam dan menanti AS menyelesaikan masalah dunia ini secara sendirian," kata beliau.

White House telah mengeluarkan petikan teks ucapan beliau lebih awal yang mengandungi nada lebih lembut.
Ia dibuat dalam ucapan julung kalinya oleh Obama di depan badan dunia itu, sebuah forum terbesar dengan harapan dapat membersihkan imej unilateral AS di bawah bekas Presiden George W. Bush.

Secara keseluruhannya, mesej yang cuba disampaikan Obama adalah beliau mahu maklum balas yang banyak setelah berusaha melakukan pendekatan baru.

"Kita telah berbicara dalam perkataan dan keperluan satu era baru hubungan dengan dunia. Kini tiba masanya kita semua menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Ekstremis menanamkan keganasan di beberapa tempat di dunia. Konflik berpanjangan masih berterusan. Penghapusan bangsa dan pembunuhan beramai-ramai. Lebih banyak negara dengan kuasa nuklear. Ketulan ais yang mencair dan bilangan penduduk yang melonjak. Kemiskinan tegar dan penyakit pandemik," ujar beliau lagi.

Tambah Obama, semua perkara tersebut dinyatakan bukan untuk menyemai rasa bimbang tetapi untumber k menyatakan fakta bahawa magnitud cabaran yang dihadapi adalah besar dan masih belum setimpal dengan tindakan yang diambil.

Ucapan Obama menjadi perhatian utama hari ini dan beliau akan turut bertemu dengan Perdana Menteri baru Jepun, Yukio Hatoyama dan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev.

Agenda ketat di sini hari ini, Obama membayangkan mesej beliau kepada pemimpin dunia dalam ucapannya semalam kepada Clinton Global Initiative dengan berbicara mengenai negara bermasalah sama ada jangkitan selesema, keruntuhan ekonomi atau penyeludupan dadah antara sempadan.

"Seperti mana tiada satu negara yang dapat mengasingkan diri dari dunia, tiada satu negara pun yang dapat berdepan dengan cabaran-cabaran ini tidak kira berapa besar atau berkuasanya mereka," tegas Obama lagi. - AP

Sumber : Utusan Malaysia Online 24/09/2009

Dunia dicabar polis dunia? Amat pelik sekali bila negara polis dunia ini tiba-tiba pula menyelar tindakan kebanyakan negara yang sering mengecam tindakan unilateral kuasa besar ini. Kenapa baru sekarang baru hendak menagih simpati negara lain agar menunjukkan “peranan kamu dalam keselamatan dunia”? Sepatutnya pemimpin-pemimpin dunia harus menempelak kembali keyataan si Obama ini dengan berkata, “Siapa yang nak kamu (AS) menjadi pencatur dunia? Malah kami tak pernah ingin pun kamu (AS) melakukan kerosakan di dunia ini !!!”. Namun, seperti biasa, itu semua cumalah drama lama yang diberi nafas baru oleh pemimpin AS, cuma yang berbezanya ialah pelakon dan skripnya sahaja. Matlamatnya tetap sama - untuk mendominasi percaturan politik dunia. Ada beberapa perkara yang kita boleh fahami melalui ucapan Obama ini :

1. Amerika Semakin Melemah

Sekiranya sebelum ini, AS tidak pernah sekalipun memperdulikan kritikan dunia terhadap apa sahaja tindakan mereka seperti yang berlaku di Iraq & Afghanistan. Namun melihat keadaan semasa AS di sana, ternyata mereka di ambang kekalahan, dan mungkin inilah salah satu strategi mereka untuk tidak menanggung malu secara sendirian. Paling kurang pun, mereka akan membuat justifikasi, “Keamanan di Iraq & Afghanistan bukan tanggungjawab AS sendirian, tetapi merupakan tanggungjawab seluruh dunia”. Ini tidak dikira lagi dengan masalah dalaman AS yang semakin meruncing yang memerlukan perhatian yang lebih serius pemimpin No.1 mereka seperti krisis ekonomi, pengangguran, jenayah, krisis perkauman, dan lain-lain lagi. Dengan demikian, AS mengharap agar segala usaha yang ingin dilakukan selepas ini mendapat sokongan daripada negara- negara lain dan ini pastinya menguntungkan AS.

2. Amerika Ingin Menarik Semula Sokongan Dunia Kepadanya

Pelbagai kerosakan, kemusnahan dan kematian yang berlaku di dunia hari ini dimulai oleh tangan-tangan AS dan ini kita sudah sedia maklum. Bukan sekadar isu perang di Iraq & Afghanistan sahaja, malah isu kegawatan ekonomi global, pencemaran, penyeludupan dadah serta manusia dan pelbagai kerosakan lain, semuanya dimulai oleh AS. Tindakan “mencabar dunia” merupakan strategi yang cukup bijak yang diambil oleh Obama. Dengan tindakan sebegini, paling tidak pun ia mampu untuk menarik semula sokongan negara yang selama ini mengkritik tindakan unilateral AS.

Bagi pemimpin umat Islam pula, janganlah terlalu mudah terpedaya dengan Obama ini dengan terus mengambil sikap defensif- apolegetik dan terus membabi buta tuli meyokong seruan Obama ini. Sebagai pemimpin umat Islam, sepatutnya kamu menjadikan Islam sebagai sandaran dalam memimpin umat dan menjadikan Islam sebagai panduan dalam menjalankan pemerintahan dan bukannya bertuhankan Amerika. Pemimpin yang kita harapkan adalah sang Khalifah, yang akan mengurusi seluruh urusan umat dengan kitabullah & sunnah Rasul, dan memimpin dunia dengan cahaya Islam.

Obama Berlagak Seperti ‘Pakar Perunding’...


Obama usaha rundingan damai Palestin-Israel dihidup semula

WASHINGTON: Presiden Barack Obama berharap dapat menghidupkan semula rundingan damai Palestin-Israel dengan menganjurkan pertemuan dengan Presiden Mahmud Abbas dan Perdana Menteri Netanhayu minggu ini, ketika menghadiri perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pertemuan dengan kedua-dua pemimpin Palestin dan Israel itu pada mulanya diadakan secara berasingan esok, disusuli kemudian dengan mesyuarat tiga pihak, kata Rumah Putih dalam satu pertemuan di luar jangka itu.

Sumber: Berita Harian 22/09/09

Siapa Obama Untuk Menjadi Orang Tengah Antara Islam Dan Kafir?

Hanya orang buta mata hati dan tidak waras akalnya sahaja yang melihat situasi di atas sebagai suatu yang menguntungkan Islam. Bagi orang Mukmin tentu sebaliknya. Bagaikan Sang Perompak, tiba-tiba Perompak (Obama) tersebut menawarkan khidmat barangan yang telah dirompaknya itu kepada pemiliknya. Sememangnya AS dan PBB lah yang selama ini telah menjadi sahabat karib Israel dalam banyak kes penodaan kepada umat Islam di bumi Palestin. AS jugalah yang menjadi dalang dalam segala siri serangan ke bumi umat Islam di seluruh dunia. Maka layaklah jika dalam sebuah kajian sebelum ini menunjukkan bahawa Bush dan rejim AS adalah karakter yang paling dibenci di seluruh dunia.

Pertanyaan yang paling mendasar dalam hal ini adalah, siapakah Obama untuk menjadi orang tengah antara Islam dan Kafir Yahudi? Dan jika benar Obama ingin berlaku adil (kononnya) untuk menjadi orang tengah antara Palestin dan Israel, lalu kedamaian dalam kaca mata siapakah yang digunakan oleh Obama untuk mendamaikan krisis dua negara tersebut? Dan selama ini, kedamaian apakah yang pernah dibawa oleh AS terhadap dunia khususnya negara-negara umat Islam di seluruh dunia? Jawapannya sudah ada dalam benak orang-orang yang berfikir dan celik akalnya, bahawa sesungguhnya AS adalah merupakan negara perosak yang tidak pernah membawa kedamaian bahkan sebaliknya.

Wahai Mahmud Abbas Dan Pemimpin Umat Islam Lainnya!

Gunakanlah akal fikiran kalian untuk mencerap bagaimana dahulu Islam datang dan membuka bumi Palestin dengan jalan dakwah dan jihad. Apakah kalian tidak mengenal Salahaddin Al-Ayyubi yang dengan kepintaran dan semangat jihad yang dikobarkannya kepada tentera Islam dapat membebaskan bumi al Quds dari cengkaman kaum kuffar? Sememangnya hanya dengan Jihadlah, musuh-musuh Islam akan dapat dihancurkan dan dikalahkan. Bukan dengan rundingan dan perbincangan. Apatah lagi apabila kalian sampai meminta-minta bagai pengemis kepada PBB untuk diberikan keamanan dan kemerdekaan yang sememangnya tidak akan pernah terealisasi.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Umat Islam di seluruh dunia telah mengetahui wajah sebenar AS, PBB dan sekutu-sekutunya dalam ‘mentadbir’ dunia. Apakah kalian yang bergelar pemimpin masih tidak sedar?

Jika kalian tidak sedar akan hal ini, maka layaklah kalian digelar sebagai golongan yang paling hina di muka bumi ini, seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai. [TMQ Al-A’raf(7):179]

Benarkah Seri Perdana Rumah Rakyat???


Amalan rumah terbuka kembali ke kediaman Perdana Menteri - 50,000 ceriakan suasana raya di Rumah Rakyat

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak mengembalikan lokasi sambutan rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke kediaman rasminya, Seri Perdana di Putrajaya kelmarin kerana beliau menganggap ia adalah Rumah Rakyat. Sejak lima tahun lalu, majlis yang sama diadakan di PWTC sepanjang pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi Najib yang segak dengan baju Melayu berwarna merah jambu, majlis itu mempunyai pengertian yang besar kerana ia kali pertama diadakan oleh beliau selaku Perdana Menteri. "Saya mengadakan rumah terbuka kali ini di Seri Perdana kerana ia Rumah Rakyat, dan pengunjung yang datang dapat berkenalan dengan ahli Kabinet lain, selain bersalaman dengan saya,'' katanya. Menu majlis itu juga mencerminkan semangat 1Malaysia apabila meja-meja hidangan menyajikan sate, ketupat, lemang, thosai dengan kari dhal serta kuetiau goreng.

Sumber: Kosmo 21/09/09

Seri Perdana Rumah Rakyat! Bagaimana Dengan Minyak, Air, Elektrik , Highway? Itu lah Sebenarnya Milik Rakyat!!

Najib terus mempergula-gulakan rakyat di hari raya kali ini dengan menggunakan isu majlis raya beliau yang diadakan di Seri Perdana dengan menggatakan bahawa ia diadakan di Rumah Rakyat. Apakah benar bahawa Seri Perdana itu “Rumah Rakyat”? Jika ya, maka rakyat sudah pasti boleh menggunakannya pada bila-bila masa. Apakah itu hakikatnya? Atau hanya sebagai halwa telinga?

Ah...Amat malang apabila perkara-perkara yang ditentukan oleh Islam sebagai milik rakyat seperti air, elektrik, minyak , highway dan yang seumpamanya telah dijadikan milik individu manakala rumah kediaman yang dalam pandangan Islam merupakan milik individu telah dikatakan sebagai milik rakyat. Lainlah jika masjid dikatakan sebagai milik umum, itu memang ada kebenarannya tapi bukannya rumah kediaman! Dalil al-Quran dan As- Sunnah mana pula yang digunakan oleh Najib?

Inilah kebingungan kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah kita hari ini. Dari info Seri Perdana di atas, bukankah kita dapat melihat bagaimana wang rakyat yang berjumlah RM4.15 juta terpaksa “dikorbankan” sebagai sewa tahunan untuk “Rumah Kediaman PM” yang bukan “Rumah Rakyat” sebenarnya? Bukankah ini bermakna bahawa rakyat Malaysia amat “pemurah” ? “Rumah Kediaman PM” pun rakyat yang membayarnya!

Wahai umat Islam! Apakah kamu akan terus termakan dengan “gula-gula” Kapitalisme ini?

Wahai umat Islam kamu hanya diraikan untuk 1 Hari di rumah yang dikatakan “Rumah Rakyat” tetapi hak kamu telah dan masih sedang dirompak sejak begitu lama! Amat malanglah rakyat yang hidup dalam dunia Kapitalisme ini...

Satu PM – Satu Ajaran Baru – Satu Peruntukan Baru...


Saban hari kita sering dimomokkan dengan slogan basi pemimpin Negara, tidak kira Negara kita atau mana-mana Negara umat Islam di seluruh dunia. Semasa pemerintah Tun Dr Mahathir Mohammed dulu slogan Wawasan 2020 diperkenalkan. Kain rentang, billboard dan papan iklan dengan tulisan Vison 2020 (Wawasan 2020) terpampang di merata tempat . Perbelanjaan untuk melaksanakannya bukannya sedikit, berjuta wang rakyat Malaysia dibelanjakan. Di institusi pengajian tinggi pula, puluhan seminar untuk membincangkan idea baru ini diadakan. Para cendekiawan Melayu dan Islam tidak kering gusi memuji-muji kecanggihan idea ini. Hari berganti, pesaka bergilir, jawatan PM bertukar tangan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tiba-tiba, wawasan 2020 tidak lagi serancak dulu, malah mula tidak dipedulikan lagi.

Pada zaman Pak Lah, dengan nasihat ‘orang tingkat 4’, terserlahlah konsep Islam Hadhari. Kali ini, Pak Lah mengusung idea Islam Hadhari untuk melawan propaganda PAS, “Membangun Bersama Islam” dan juga mempropagandakan kepada rakyat Malaysia bahawa Islam PAS adalah 'Islam Hukuman' sahaja. Menurut pejuang Islam Hadhari ini, Islam yang dia bawa adalah Islam sebenar yang bukannya hanya menitik-beratkan aspek hukuman. Menurut pejuang Islam Hadhari ini Islam itu luas, Islam itu bertamadun dan bukan seperti penafsiran sempit dari parti PAS. Tidak cukup dengan itu diwajibkan pula para penceramah JAKIM untuk memberikan ceramah tentang Islam Hadhari. Tapi selalunya para penceramah JAKIM ini terus bungkus beg apabila habis perbincangan, tidak ada sessi soal-jawab.

Islam Hadhari ini hakikatnya menjadi bahan lawak dalam media massa arab dan juga Malaysia dengan pelbagai gelaran yang diberikan. Islam Hadhari hakikatnya menerima kritikan yang banyak, bermula dari komen terhadap pelopornya yang suka tidur secara rasmi dalam majlis rasmi, penggunaan nama yang bercanggah dengan konsep Islam sehinggalah kepada aspek perlaksanaannya. Kemudian sekali lagi masa bergulir, pesaka bergilir dan dengan rendah hati PM terpaksa akur dengan desakan dalaman untuk meletakkan jawatan.

Kini muncul PM baru dan slogan barunya - 1Malaysia. Dengan madah berhelah, beliau berjanji akan meneruskan dasar Islam Hadhari dan Wawasan 2020. Sekali lagi para cendekiawan sibuk membentangkan kertas kerjanya, seminar-seminarnya dan mungkin lepas ini kakitangan awam akan dipanggil untuk mengikuti Kursus 1Malaysia. Lebih menarik, ada cendekiwan Islam mengatakan bahawa konsep 1Malaysia ini sesuai dengan Islam, tanpa dalil dan tanpa penjelasan rapi tentang permasalahan ini.

Seperti biasa, setiap slogan baru perlukan poster baru, perlukan kain rentang baru, perlukan billboard baru dan perlukan leaflet dan artikel baru. Untuk menjayakannya, tidak cukup dengan slogan, perlu ditarbiyyah juga kader-kader Islam 1Malaysia, untuk mendakwahkannya kepada rakyat Malaysia.

Namun, walau seribu slogan datang dan pergi, hakikatnya tidak ada perubahan signifikan yang kita lihat pada rakyat ini. Umat Islam yang ada tetap terperuk ke belakang, undang-undang Islam tetap tidak diterapkan. Bahkan apa yang dapat kita perhatikan, seruan kepada isu-isu bersifat abstrak ini nampaknya lebih bertujuan untuk memesongkan umat dari memahami dan menerapkan Islam yang sebenarnya. Tindakan mereka yang menyerukan slogan-slogan ini, yang kononnya sesuai dengan Islam, adalah tidak ubah seperti yang diungkapkan oleh Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani di dalam kitab Mafahim Hizbut Tahrir:

"… kesan dari kelemahan Daulah Islamiyyah yang disebabkan oleh banyak negeri-negeri yang asalnya satu, melepaskan diri lalu tunduk kepada sistem pemerintahan kufur. Ini kemudian disusuli pula dengan runtuh dan lenyapnya Daulah Islamiyyah, maka terciptalah halangan mental kaum Muslimin - satu gambaran kemustahilan akan berdirinya kembali Daulah Islamiyyah di mana hukum Islam dilaksanakan sebagai satu-satunya hukum yang harus diterapkan oleh Negara. Akibat halangan mental ini, mereka bersedia menerima begitu saja hukum lain yang bukan berasal dari Allah Swt. Mereka tidak melihat hal ini sebagai suatu bencana dan dosa, selama nama baik Islam tetap dijaga, sekalipun hukum Islam tidak diterapkan lagi. Mereka juga menyerukan agar aliran dan ajaran selain Islam harus dimanfaatkan bagi membantu penerapan ajaran Islam di dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini menyebabkan kaum Muslimin hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan Daulah Islamiyyah yang hakiki, serta berdiam diri melihat hukum kufur diterapkan di tengah-tengah kehidupan kaum Muslimin oleh orang-orang Islam sendiri. [Mafahim HT, hal.20]

Apa ada pada seribu slogan sedangkan Islam tidak ditegakkan? Sebutlah slogan apapun selama mana hukum Islam tidak diterapkan maka apa yang tinggal adalah tetap undang-udang jahiliyyah.. Sudah masanya untuk kita bergerak mengembalikan sistem Khilafah yang pasti menjamin kesejahteraan warganegaranya sama ada Muslim mahupun non-Muslim.

Panglima AS Rayu Keranda Tambahan Di Afghanistan...


Tentera asing mungkin tumpas

WASHINGTON: Panglima tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan memberi amaran tentera asing akan kalah di tangan Taliban jika askar tambahan tidak dikerahkan dalam masa setahun.

Jeneral Stanley McChrystal menulis dalam satu laporan sulit: "Kegagalan untuk mengambil kesempatan dan mengubah momentum yang memihak kepada pemberontak dalam masa terdekat (12 bulan) sementara menunggu tentera Afghanistan disediakan membuka risiko berdepan dengan kekalahan."

Akhbar Washington Post mendedahkan laporan penilaian mengenai konflik lapan tahun itu selepas ia dikemukakan kepada Setiausaha Pertahanan Robert Gates 30 Ogos lalu dan ketika ia sedang diteliti Rumah putih.

McChrystal yang dijangka mengemukakan permohonan rasmi tambahan askar daripada 62,000 yang berada di Afghanistan sekarang, berkata kempen ketenteraan di negara bergolak itu sejak mulanya menghadapi kekurangan sumber.

"Keadaan ini besar kemungkinan akan menghasilkan kegagalan," katanya.

Kelemahan sumber itu juga membawa risiko "konflik yang lebih lama, jumlah kematian dan kos yang tinggi dan seterusnya kehilangan sokongan politik.

"Salah satu daripada risiko ini akan menggagalkan misi," katanya.

Laporan 66 halaman itu menyatakan pemberontakan Taliban semakin mengukuh dan lebih bijak dilaksana.

McChrystal juga mengecam kerajaan Afghanistan yang dicemari rasuah dan strategi pasukan antarabangsa yang gagal memikat hati rakyat negara itu.

"Kelemahan institusi negara, sikap buruk ahli politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kesilapan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarbangsa (Isaf) tidak memikat rakyat Afghanistan untuk menyokong kerajaan."

Pasukan antarabangsa, katanya beroperasi dengan cara tidak mendekatkan mereka dengan rakyat yang mereka ingin melindungi.

"Pemberontak tidak akan mengalahkan kita secara ketenteraan tetapi kita akan mengalahkan diri kita sendiri, kata jeneral itu."

Sumber : Berita Harian Online 22/09/09

Panglima AS Rayu Keranda Tambahan Di Afghanistan

Setelah drama 11 September 2001, peperangan di Afghanistan yang di canang oleh AS sebagai “perang melawan pengganas” tetap diteruskan. Malah kesinambungannya terus menjangkiti negeri umat Islam yang lain. Namun, apa yang pasti, kehadiran tentera AS dan sekutunya adalah umpama perompak yang tak dijemput. Kerakusan dan keganasan tentera AS dan sekutunya di Afghanistan dan Iraq membuktikan bahawa kedatangan mereka ke sana bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh media antarabangsa, kononnya sebagai penyelamat untuk membebaskan rakyat Afghanistan dari cengkaman golongan “fundamentalis Islam” kepada pemerintahan demokrasi. Hakikatnya bukan ini yang umat Islam inginkan di sana. Islam sudah lama ada, seharusnya Islamlah yang sepatutnya memimpin mereka dan bukannya Amerika.

Sejak perang meletus di Afghanistan, jumlah kematian tentera AS semakin meningkat dari hari ke hari dengan angka tidak rasmi mencatatkan 838 kematian (sumber : http://antiwar.com/casualties/).

Situasi yang semakin menegang di Afghanistan ini memaksa panglima perang AS di sana memohon tambahan tentera untuk “mengawal sepenuhnya” keadaan di Afghanistan. Sungguh aneh! Tentera yang telah mengisytiharkan kemenangan di Afghanistan masih belum “mengawal sepenuhnya” keadaan di sana!! Jadi, siapa yang “mengawal keadaan” di sana sebenarnya? Mungkin tentera AS berjaya mengawal keadaan di kem-kem tentera mereka, namun lebih dari itu, mereka bagaikan ayam yang kehilangan ibunya!!

Jumlah 62,000 tentera AS pengecut di Afghanistan pastinya tidak akan mampu menggentarkan sekelompok Mujahideen di Afghanistan yang sanggup menggadaikan harta dan nyawa mereka untuk meraih syurga Allah. Semangat perang orang yang sekadar menurut perintah & takut mati pastinya jauh berbeza berbanding semangat para pejuang agama Allah yang lebih cintakan syahid daripada keenakan dunia. Sebagaimana firman Allah :

“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar, (yaitu) beberapa derajat daripada-Nya, ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [TMQ An Nisaa’(4) : 95-96]

Itu dari satu aspek. Dari aspek yang lain pula, dengan mengeluarkan laporan keadaan yang meruncing di Afghanistan dan perlunya tambahan bilangan anggota tentera di sana, AS mengharapkan agar keberadaan mereka dan tentera sekutu di sana masih dianggap releven. Oleh itu, segala usaha pengunduran adalah satu langkah yang kurang bijak. Mungkin mereka masih belum puas meratah umat Islam di sana dan masih banyak kekayaan bumi Afghanistan yang belum dikaut. Sekali lagi, permainan propaganda AS akan mendominasi pandangan umum dunia yang akan melihat kehadiran AS di sana sebagai masih relevan dalam ‘mengembalikan keamanan dan demokrasi’ di Afghanistan.

Sama ada dari segi aspek pertama mahupun dari aspek kedua, yang pasti, umat Islam di sana memerlukan pembelaan. Yang umat Islam perlukan bukanlah tali barut AS seperti Hamid Karzai, tetapi umat Islam amat memerlukan seorang Khalifah yang akan mengisytiharkan jihad melawan AS dan membebaskan setiap inci bumi umat Islam yang telah dijajah oleh puak kuffar dan seterusnya membebaskan seluruh penjuru dunia daripada kekufuran. Rasulullah bersabda:

إنما الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به

”Sesungguhnya Imam (khalifah) itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung." [HR. Muslim]

Positif Kepada Kroni Tetapi Negatif Kepada Rakyat???


Pakej ransangan ekonomi nampakkan kesan positif

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pakej ransangan ekonomi kerajaan mula menampakkan kesan positif ke atas ekonomi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata. Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 2.8 peratus dalam suku kedua berbanding 1.1 peratus peratus dalam suku pertama; 83,939 projek ditawarkan setakat kini di bawah pakej ransangan ekonomi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam kenyataan.— BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 21/9/09

Positif Kepada Kroni Tetapi Negatif Kepada Rakyat?

Nampaknya apa yang diperkatakan oleh Najib di atas menggambarkan seolah-olah apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menerapkan sistem ekonomi kapitalisme yang ada pada hari ini adalah suatu langkah yang betul. Angka tersebut sudah tentu bertambah selepas kerajaan menyuntik pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM6.07 bilion pada November 2008 lalu dan seterusnya pakej kedua bernilai RM60.93 bilion pada Mac 2009 tahun ini.

Ya, Najib mungkin boleh berbangga dengan angka yang dipaparkan di atas. Inilah sistem ekonomi Kapitalisme yang sering melihat angka dan nombor sebagai ukuran kejayaan polisi ekonomi sesebuah negara. Apalah ertinya bilangan projek yang mencapai puluhan ribu yang sudah pasti menjadi rebutan di kalangan kroni para politikus kapitalis sedangkan dalam masa yang sama “basic needs” rakyat terus tidak dipenuhi. Ternyata masih ramai lagi rakyat yang tidak memiliki makanan, rumah dan pakaian yang sewajarnya. Begitu juga dengan kemudahan pendidikan, kesihatan dan keamanan yang kesemuanya merupakan keperluan asas kehidupan seorang manusia yang wajib dijamin untuk dipenuhi oleh negara.

Bagi Islam, kejayaan ekonomi bagi sesebuah negara itu diukur dari sejauh mana negara itu berjaya dalam memenuhi “basic needs” di atas. Dan yang lebih penting, memenuhi keperluan asas ini haruslah ditegakkan dengan sistem yang berteraskan Islam. Yang pastinya saat ini sistem ekonomi yang dijalankan oleh Najib masih terus kukuh berasaskan riba yang merupakan tunjang kehidupan kepada sistem ekonomi Kapitalisme. Bukankah Allah SWT mengistiharkan perang ke atas pengamal-pengamal riba?

Wahai Najib! Kamu berkewajiban menerapkan seluruh sistem Islam termasuklah sistem ekonominya yang dijamin oleh Allah SWT akan kesempurnaannya dalam menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh alam. Apa yang diperlukan oleh kamu saat ini adalah taqwa. Bukankah ibadah puasa yang baru sahaja kamu lalui itu sewajarnya menjadikan diri kamu sebagai hamba-hamba Allah SWT yang bertaqwa? Firman Allah SWT:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al-A’raaf (7) : 96].

Salam Aidilfitri Dari Hizbut Tahrir Malaysia



Sri Kandi Yang Berjuang Demi Negara???


Berpisah dengan anak demi negara

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Usia anaknya baru mencecah dua tahun. Namun, demi menjalankan misi negara, Koperal Udara Geenathul Nisah Mohd. Ibrahim, 30, seorang ibu tunggal, rela berpisah sementara selama empat bulan setengah dengan anaknya.

Beliau merupakan antara 10 anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpilih sebagai anggota Kontijen Wanita Kumpulan Kedua Malcon East 4 Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil).

Menurut beliau, status ibu tunggal membuatkan anaknya, Nurul Izzati Izzah Zaidan menjadi terlalu manja dengannya sehingga sukar untuk berenggang.

Beliau yang kematian suami, dua tahun lalu bagaimanapun menganggap tugasnya yang memerlukan dia berada jauh di negeri orang sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sedikit pengorbanan.

‘‘Saya akui, berat hati untuk meninggalkannya apatah lagi seminggu sebelum Aidilfitri. Izzati juga seakan tahu kami akan berpisah lama apabila kerap bermanja dan tidak boleh berenggang langsung dengan saya.

‘‘Apa pun, pengorbanan ini tetap perlu saya lakukan demi negara. Segala persiapan Aidilfitrinya sudah saya sediakan dan dia akan tinggal bersama kakak di Alor Setar,’’ katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penghantaran Anggota Wanita Malcon East 4 di Wisma Transit, Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman dengan diiringi Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Jusof @ Che Jusoh Embong.

Kontijen wanita itu bakal berangkat ke Lebanon malam ini bagi mengambil tempat 10 anggota wanita yang tamat misi esok.

Mereka bakal menjalankan tugas berdasarkan kepakaran masing-masing dalam bidang perubatan, komunikasi, logistik dan pentadbiran.

Sementara itu, ketua kontinjen berkenaan, Kapten Junainah Baharudin yakin anak buahnya mampu menjalankan tugas dengan baik sekali gus memelihara rekod bersih Malaysia dalam melaksanakan misi di luar negara.

Beliau menjangkakan, cabaran terbesar hadir dalam bentuk perbezaan cuaca selain persepsi orang ramai terhadap kemampuan wanita untuk menjalankan tugasan yang berat.

Sumber: Utusan Online, 15/09/09

Sri Kandi Yang Berjuang Demi Negara?

Acapkali kita mendengar berita mengenai tentera yang yang dilatih serta disemat di dalam jiwa mereka semangat berjuang sebagai contoh kepada yang lain agar mengikuti jejak langkah pengorbanannya. Pengorbanan yang dianggap mulia ini disambut dengan rasa gembira dan terharu yang memberi suntikan semangat kepada Sri Kandi Malaysia.

Jika kita mengkaji lipatan sejarah Islam, umat Islam melakarkan ramai para muslimah yang berjuang serta mempertahankan Islam termasuklah isteri Rasulullah SAW , Siti Khadijah, Aisyah RA serta anak Baginda Fatimah RA.

Sejak itu, kita dapat perhatikan ramai isteri para pejuang serta pendakwah Islam yang membantu serta memainkan peranan penting dalam perjuangan Islam. Pengorbanan dilakukan semata-mata untuk Allah bukan untuk yang lain.

Hari ini, dalam konteks perjuangan untuk mengembalikan kehidupan Islam, ramai para isteri dan muslimah yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa hanya untuk mendpatkan keredhaan Allah. Di Uzbekistan sebagai contoh, isteri para shabab Hizbut Tahrir menggantikan tugas suami mereka dalam menjalankan kerja amar maaruf nahi mungkar yang telah dipenjarakan oleh pemerintah yang zalim yang cuba mengekang laungan Khilafah dari berkumandang

Inilah Sri kandi sebenar yang berkorban kerana dipisahkan dengan suami mereka secara paksa, yang akan mengorak langkah dalam perjuangan yang hakiki yang dilakukan demi Islam. Allahu Akbar!