SN192 - BAJET SANG KAPITALIS...


[SN192] Pada 23hb Oktober lepas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan bajet 2010 di Parlimen. Seperti biasa setiap kali pembentangan bajet, pastinya ada sebahagian yang menyambut baik, sebahagian yang kecewa dan sebahagian lagi yang malas berkata apa-apa. Seperti biasa juga, bagi sesetengah pihak, tidak ada yang istimewanya dengan bajet pada kali ini kerana ia hanyalah merupakan perubahan angka-angka dari bajet-bajet sebelumnya. Namun, bagi Najib sendiri, ia merupakan satu bajet dan satu detik yang penuh makna kerana pertama kali membentangkannya sebagai Perdana Menteri. Bagi para pengampu pula, pembentangan bajet kali ini yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” dianggap tepat kerana ia dikatakan dapat membantu meringankan beban rakyat menghadapi tekanan akibat kejatuhan ekonomi dunia ketika ini. Telah menjadi lumrah bagi setiap Perdana Menteri Malaysia untuk meletakkan ‘tema’ di dalam pembentangan bajet mereka, dan tema yang dipilih tentunya tema yang dapat memikat hati rakyat. Ini penting kerana ‘isi’ bajet telah pun memihak kepada pemerintah, justeru ‘tema’nya hendaklah memihak kepada rakyat.
Rakyat mesti terus digula-gulakan dan hasil negara hendaklah diberi sedikit kepada rakyat agar rakyat bisa ditutup mulutnya. Manakala hasil selebihnya dikaut kroni-kroni Kapitalis. Untuk tahun 2009, hasil kerajaan persekutuan dianggarkan berjumlah sebanyak RM162,100 juta dan 63.1% daripadanya adalah melalui kutipan cukai, yang merupakan jumlah yang tertinggi [UM 25/10/09]. Dari manakah datangnya jumlah cukai yang ratusan juta jumlahnya ini jika bukan dari duit kita semua yang dihisap darah dan keringatnya oleh pemerintah?

Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin membincangkan pro dan kontra yang terhasil dari bajet 2010 ini, tetapi kami ingin membincangkan isu bajet ini dari sudut pandangan Islam dengan menjelaskan perbezaannya dengan bajet Kapitalis di bawah sistem demokrasi. Sejak sistem demokrasi kufur mendominasi umat Islam dari tanggal runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), ditambah dengan kemunduran berfikir umat terhadap Islam, kaum Muslimin sudah tidak lagi memandang pembentangan bajet dari perspektif Islam. Malah, ramai yang langsung tidak tahu atau tidak dapat mengaitkannya dengan Islam, seolah-olah Islam tidak pernah menyentuh hal ini dan ia dibiarkan kepada kebijaksanaan manusia untuk menguruskannya. Umat Islam seolah-olah sudah lupa bahawa Daulah Khilafah dahulu menaungi dunia dengan pengurusan ekonomi yang cukup hebat. Siapa tidak tahu akan kehebatan Saidina Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz dalam mengurus ekonomi negara? Siapa tidak tahu kekayaan melimpah ruah Daulah Khilafah semasa kekhilafahan Abbasiyyah dan Uthmaniyyah? Dari manakah datangnya kejayaan hebat ini jika bukan diwarisi dari pengurusan ekonomi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, yang mengurus ekonomi berdasarkan pengaturan yang turun dari tujuh petala langit? Sesungguhnya umat Islam telah lupa bahawa di dalam Islam terdapat sistem ekonominya yang tersendiri yang datangnya dari wahyu. Kealpaan ini berlaku kerana umat Islam sudah dirasuk oleh sistem demokrasi yang dibawa Barat yang menjadikan Parlimen sebagai sebuah tempat suci untuk manusia membuat hukum! Maka umat Islam sudah tidak lagi dapat berfikir akan persoalan, apakah di dalam Negara Islam terdapat pembentangan bajet sebagaimana Negara Demokrasi yang mesti diluluskan oleh majoriti manusia. Apakah para Khalifah dan Rasulullah SAW pernah membentangkan bajet negara untuk diluluskan secara majoriti?

Perlukah Pembentangan Belanjawan Negara?

Negara yang menganut demokrasi biasanya membentangkan bajet negara setiap tahun. Secara fakta, bajet dalam negara demokrasi dibentangkan di Parlimen dalam rangka untuk menjadikannya satu undang-undang untuk tahun-tahun tertentu. Di Malaysia, ia dikenali sebagai Rang Undang-undang Perbekalan (2010). Parlimen kemudian akan meluluskan rang undang-undang ini setelah ia didebatkan dari setiap aspek, termasuklah dari aspek pembahagian jumlah peruntukannya satu per satu. Setiap bahagian sebenarnya merupakan bajet yang tak terpisah di antara satu sama lain dan ia diundi (untuk diluluskan) secara keseluruhan, bukannya satu demi satu. Oleh itu, Parlimen berhak menolaknya secara keseluruhan walaupun ia (ahli-ahli Parlimen) mempunyai hak untuk memperdebatkan itemnya dan jumlahnya satu per satu.

Rang undang-undang bajet biasanya terdiri dari beberapa fasal di mana setiap satunya digubal untuk menunjukkan berapakah jumlah wang yang telah diperuntukkan (atau diasingkan) untuk perbelanjaan negara pada tahun kewangan yang akan datang. Ada fasal yang digubal yang mengasingkan perbelanjaan (expenses) sesetengah institusi dan fasal lain pula dibuat untuk menganggar hasil/pendapatan (revenues) sesetengah institusi. Terdapat juga sesetengah fasal yang digubal untuk memberi kuasa mandatori kepada Menteri Kewangan dalam beberapa perkara. Di dalam setiap fasal, biasa terdapat rujukan kepada jadual yang mengandungi anggaran hasil dan perbelanjaan setiap item serta jumlah keseluruhan (total) masing-masing. Atas asas inilah penggubalan bajet dilakukan setiap tahun oleh negara penganut demokrasi, dengan beberapa perubahan kecil yang diperkenalkan setiap tahun bergantung kepada kejadian-kejadian yang berlaku dalam negara yang berkenaan.

Sesungguhnya tidak ada konsep ‘pembentangan’ bajet tahunan di dalam Daulah Islam. Ini kerana, tidak ada ‘undang-undang’ yang perlu dibuat (atau diluluskan dengan suara majoriti) setiap tahun berhubung bajet negara. Bajet negara juga tidak perlu dibentangkan kepada Majlis Ummat (Majlis Syura) dan pendapat mereka juga tidak perlu diminta. Dalam sebuah negara demokrasi, persoalan bajet dengan segala rinciannya adalah satu perkara (yang mesti dijadikan) undang-undang. Ia perlu dijadikan undang-undang pada setiap tahun. Undang-undang dalam sistem demokrasi pula perlu digubal di Parlimen. Kerana itulah, bajet mestilah ‘dibentangkan’ (sebagaimana rang undang-undang lainnya) di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan. Daulah Islam tidak memerlukan ini semua! Perbendaharaan dalam Daulah Khilafah wajib diatur berdasarkan hukum syarak yang diistinbat (digali) dari Al-Quran dan Sunnah, dan wajib dibelanjakan, juga berdasarkan hukum syarak yang ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Kesemua ini merupakan hukum syarak yang bersifat tetap dan manusia tidak dibenarkan mengatur sumber pendapatan dan perbelanjaan negara mengikut akal-akal mereka. Setiap kategori dalam bajet adalah bersifat ‘tetap’ kerana telah ditetapkan oleh syarak.

Inilah kedudukan tentang bajet secara syarie-nya. Adapun tentang jumlah wang (amount) untuk setiap kategori, hal ini dikembalikan kepada pendapat dan ijtihad Khalifah selaku Ketua Negara. Ini kerana hal ini termasuk dalam masalah ri’ayah asy-sy’un (pengaturan urusan) negara yang mana syarak telah letakkan di bahu Khalifah untuk membuat keputusan yang beliau fikir terbaik, dan ketetapan Khalifah dalam hal ini adalah bersifat mengikat dan wajib dilaksanakan.

Amat jelas bahawa Islam tidak mengenal persoalan pembentangan bajet tahunan sebagaimana dalam sistem demokrasi sekarang, tidak kiralah dari aspek apa sekalipun. Justeru, langsung tidak timbul persoalan ‘penggubalan/pembentangan undang-undang’ dalam Daulah Khilafah kerana Khalifah adalah terikat dengan hukum syarak yang bersifat tetap di dalam mengatur pendapatan dan perbelanjaan negara. Khalifah mempunyai hak untuk menentukan jumlah peruntukan di dalam setiap kategori, dan dia berhak menetapkan berapa jumlahnya sekalipun tanpa terikat dengan batas waktu tertentu. Peruntukan akan dikeluarkan setiap kali rakyat atau negara memerlukannya, apatah lagi jika ia adalah untuk kemaslahatan umat dan dalam rangka meninggikan syiar-syiar Allah.

Bajet Kapitalis vs Bajet Islam

Baik secara umum mahupun secara rincinya, bajet yang dibentangkan oleh kerajaan adalah bertentangan dengan Islam. Ini kerana, hal ini tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa sahaja yang melakukan suatu amalan yang tidak menepati urusan kami maka ia adalah tertolak” [HR Muslim dan Ahmad].

Antara sebab dan nas-nas lain adalah:-

Pertama: Sumber pendapatan terbesar bajet Kapitalis adalah dari cukai atau berasaskan cukai. Padahal, memungut cukai adalah sesuatu yang teramat jelas haramnya. Islam telah menerangkan keharaman cukai dengan tegas di mana Rasulullah SAW bersabda,

“Orang yang memungut cukai tidak akan masuk syurga.” [HR Ahmad, Abu Dawud dan Al-Hakim].

Sabda baginda yang lain,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

Baginda juga bersabda,

“Sekiranya kamu menjumpai pemungut ’usyur (cukai yang dipungut di sempadan antara negara Islam dan negara kufur), maka bunuhlah dia” [Musnad, Imam Ahmad bin Hambal].

Justeru, haram bagi negara memungut cukai dari rakyat untuk pendapatan negara.

Kedua: Bajet itu juga tidak membezakan jenis pemilikan yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu antara pemilikan individu, pemilikan negara dan pemilikan umum. Oleh itu, adalah haram jika kerajaan mengumpul harta kekayaannya hasil daripada cukai atau hasil dari rampasan milik individu (milkiyyah al-fardiyyah) seperti pelbagai jenis cukai dan bayaran paksaan lainnya. Juga, haram bagi kerajaan mengaut keuntungan dari kekayaan/hak yang berupa milik awam (milkiyyah al-ammah) seperti minyak, gas, galian, air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan seumpamanya Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,

“Harta seseorang Muslim itu tidak dihalalkan (bagi Muslim yang lain), kecuali dengan kerelaan hatinya.”

Baginda juga bersabda,

“Harta setiap orang Islam, kehormatannya dan darahnya diharamkan bagi orang Islam yang lain” [HR Abu Dawud dan Ibnu Majah].

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda,

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram”).

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda,

“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah].

Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah benarkan semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang/pemerintah menghalangi orang lain dari menggunakannya, apatah lagi mengaut keuntungan darinya sepertimana yang dilakukan pemerintah saat ini.

Ketiga: Bajet Kapitalis yang dibentangkan ini juga tidak memasukkan zakat sebagai satu unsur yang sepatutnya dijadikan punca pendapatan Negara, walhal terdapat begitu banyak nas tentang kewajipan memungut zakat untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf. Dan zakat ini adalah salah satu dari pendapatan negara.

Ada pun di dalam Daulah Islam, salah satu struktur dalam pemerintahan Khilafah adalah Baitul Mal. Baitul Mal merupakan sebuah autoriti yang bertanggungjawab terhadap setiap pendapatan dan perbelanjaan negara yang menjadi hak kaum Muslimin. Oleh itu, setiap harta sama ada tanah, bangunan, bahan galian, wang atau barangan apa pun yang mana kaum Muslimin berhak ke atasnya mengikut hukum syarak, maka ia menjadi tanggungjawab Baitul Mal untuk menguruskannya. Baitul Mal berada di bawah pengawalan Khalifah secara langsung atau di bawah kawalan orang yang dilantik Khalifah untuk mengurusinya.. Dalil tentang kewujudan dan peranan Baitul Mal ini sudah cukup masyhur di dalam hadis dan juga Ijmak Sahabat. Dari segi pembahagian struktur Baitul Mal mengikut pendapatan dan perbelanjaan negara (berdasarkan hukum syarak), Baitul Mal dibahagikan kepada dua bahagian:

Pertama: Al-Waradat (Bahagian Kemasukan/Pendapatan) yang mempunyai 3 Diwan/seksyen yang terdiri dari:-

(i) Diwan Fai’ dan Kharaj (meliputi ghanimah, kharaj, jizyah, tanah-tanah, fai’ dan juga dharibah),

(ii) Diwan Pemilikan Umum (meliputi kemasukan/pendapatan dari petroleum, gas, elektrik, galian mineral, laut, sungai, hutan, padang gembalaan, hima dan sebagainya),

(iii) Diwan Zakat (meliputi zakat wang – emas dan perak, perdagangan, pertanian, ternakan dan lain-lain).

Kedua: An-Nafaqat (Bahagian Perbelanjaan) yang terdiri dari 8 Diwan iaitu”

(i) Diwan Dar al-Khilafah
(ii) Diwan Kemaslahatan Negara
(iii) Diwan Subsidi
(iv) Diwan Jihad
(v) Diwan Pengelolaan Zakat
(vi) Diwan Pengelolaan Pemilikan Umum
(vii) Diwan Keperluan Dharurat dan
(viii) Diwan Anggaran, Pengawalan dan Pengawasan Umum.

Sesungguhnya sistem dan hukum Islam tentang bajet jelas berbeza dengan sistem demokrasi. Setiap pendapatan dan perbelanjaan dalam Islam (yang disebut di atas) terdapat nas khusus yang membincangkannya secara terperinci [sila rujuk perbincangan lanjut di dalam kitab Nizamul Iqtisadi Fil Islam, Syeikh Taqiuddin an-Nabhani dan Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah, Syeikh Abdul Qadim Zallum]. Namun sayangnya pemerintah kita langsung tidak merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah di dalam menyiapkan suatu bajet. Begitu juga para pembangkang yang tidak pernah mempertikaikan atau memuhasabah pemerintah di Parlimen bahawa bajet yang dibentangkan adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah puluhan tahun kita menyaksikan, setiap kali bajet dibentangkan oleh Menteri Kewangan, yang biasanya juga adalah Perdana Menteri, setiap kali itulah para pengampu dari kalangan menteri-menteri atau kakitangan atau penyokong kerajaan memuji Perdana Menteri melangit. Media pengampu kerajaan juga sama halnya, memuji dan memuja Perdana Menteri dari hujung rambut sampai hujung kaki dan menghebahkan kepada rakyat bahawa inilah bajet terbaik yang merangkumi semua aspek. Setiap tahun setiap kali bajet dibentangkan, mereka akan mengatakan ‘inilah bajet terbaik...inilah bajet rakyat...’ dan sebagainya. Di sebalik bajet terbaik yang dikatakan untuk rakyat yang dibentangkan saban tahun, hakikatnya, saban tahun juga kita menyaksikan rakyat semakin menderita dan memberontak. Masalah kemiskinan tidak pernah dapat dihapuskan, bahkan ada kalanya semakin meningkat. Buktinya ada di depan mata, malah diakui sendiri oleh kerajaan. Dasar Ekonomi Baru contohnya diakui oleh kerajaan tidak pernah mencapai matlamat, bahkan masih terlalu jauh dari sasaran walaupun sudah berpuluh tahun dilaksanakan. Rakyat yang berpendapatan rendah masih menjadi golongan teramai, malah ada yang masih tidak terpenuhi keperluan asas mereka. Berita mengenai kemudahan awam yang terabai oleh kerajaan yang menjejaskan keselesaan hidup rakyat sering dipaparkan di media elektronik dan media cetak. Berita mengenai kemiskinan dan penderitaan rakyat juga sering tersiar. Aneh! Sungguh aneh! Saban tahun Perdana Menteri membentangkan bajet yang dikatakan ‘untuk rakyat’, hakikatnya rakyat tetap menderita dan sengsara, dan yang semakin kaya raya adalah golongan penguasa dan golongan Kapitalis raksasa. Justeru, salahkah kalau kita mengatakan bahawa bajet yang dibentangkan setiap tahun bukanlah bajet untuk rakyat tetapi bajet yang dibentangkan oleh sang Kapitalis, dari Kapitalis untuk Kapitalis?

SN191 - SIS : TUNGGULAH KEADILAN ALLAH KE ATAS KAMU!!!


Sehingga kini, hukuman ke atas Kartika, model yang mengaku salah meminum arak dan dijatuhkan hukuman enam kali sebatan
oleh Mahkamah Syariah Pahang, masih belum dilaksanakan. Kartika yang mengaku telah insaf dan redha disebat masih tidak
berganjak dari pendiriannya. Namun ada pihak lain yang terpekik terlolong ingin membela nasib Kartika kerana hukuman sebat
tersebut yang dikatakan zalim ke atas wanita. Siapa lagi kalau bukan Sisters in Islam (SIS) dan sekutu-sekutu mereka dari aliran
liberalisme? Dari mula kes ini diputuskan lagi, SIS telah berkokok di sana sini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah
hingga mereka akhirnya memfailkan satu permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan atau
pindaan atau pembatalan terhadap pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika. Tidak cukup dengan itu, satu perisytiharan bersama
telah dikeluarkan oleh Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada SIS, Persatuan Kesedaran
Komuniti Selangor (EMPOWER), Women’s Aid Organisation (WAO), All Women’s Action Society (AWAM) and Women’s Centre for
Change, Penang (WCC); Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) [http://
www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=972&Itemid=1]. Dari kenyataan bersama ini, tidak ada
lain yang terzahir darinya kecuali wajah hodoh SIS dan golongan liberal yang semakin terselak dengan menampakkan segala kudis
dan kurapnya.
Dalam menangani isu Kartika ini, sebagai Muslim kita hendaklah sedar bahawa hukuman 6 sebatan yang dijatuhkan oleh mahkamah
syariah bukanlah hukum Islam. Sememangnya tidak ada apa yang perlu dibanggakan dengan keputusan mahkamah tersebut
kerana mahkamah telah jelas-jelas menjatuhkan hukuman sekular berdasarkan enakmen syariah negeri Pahang yang tunduk
kepada Perlembagaan Persekutuan. Kedua-duanya merupakan undang-undang buatan manusia yang bercanggah seratus peratus
dengan Al-Quran dan Sunnah. Kejahilan dan kekeliruan SIS adalah apabila mereka menganggap bahawa hukuman 6 sebatan itu
sebagai hukuman syariah. Ini jelas dari kenyataan mereka yang berbunyi, “Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di
bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia - terutama sekali apabila kaum wanita
telah dinyatakan dengan jelas - tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah”. Dari kenyataan ini, sudah terang lagi
bersuluh bahawa SIS bukan sahaja menolak hukuman 6 sebatan, malah mereka menolak hukum syariah dan mereka lebih rela
berhukum dengan hukum taghut buatan manusia di bawah Kanun Acara Jenayah! Firman Allah SWT, “Apakah kamu tidak
memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran) dan
kepada apa yang telah diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan
mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’
(4):60].

Kita semua maklum bahawa hukuman ‘sebat’ (dengan jumlah
yang betul) adalah sebahagian dari hudud Allah, namun kita
menyaksikan betapa jahil, angkuh dan sombongnya SIS yang
langsung tidak mahu hukuman sebat dan hukuman syariah
dijatuhkan ke atas wanita. Jika dengan hukuman 6 sebatan
tersebut SIS telah pun meracau dan merapu tak tentu hala, apatah
lagi jika hukuman Islam sebenar (yakni) 40 atau 80 kali sebatan
dijatuhkan? Tentunya SIS akan semakin dirasuk syaitan. Alangkah
beraninya SIS menolak hukum Allah!
SIS – Rosak Lagi Merosakkan
Lebih buruk, dalam kenyataan mereka, SIS dan sekutu-sekutu
liberalnya menyatakan bahawa “Sebagai pembela hak asasi
manusia, kami berkomited untuk mendapatkan perlakuan yang
melindungi hak asasi beliau serta juga mereka yang lain dalam
keadaan yang serupa, serta untuk memastikan bahawa tidak
terdapat kemerosotan standard hak asasi manusia di Malaysia.
Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan
keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa
lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang
masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya.” Apakah
patut pengakuan dan redha Kartika untuk disebat dibandingkan
dengan undang-undang Hindu yang sesat lagi menyesatkan?
Secara logiknya SIS yang memperjuangkan hak wanita sepatutnya
bersetuju dan memberi sokongan padu kepada Kartika untuk
menjalani hukuman tersebut, ini barulah dikatakan membela
wanita. Sebaliknya, kita melihat betapa songsangnya SIS yang
kononnya ingin membela wanita, namun mereka sendiri telah
menafikan hak wanita (Kartika) yang telah rela dirinya dihukum.
Dari sini jelas bahawa SIS sebenarnya bukannya membela
wanita, jauh sekali menjadi pembela Islam, tetapi sebenarnya
SIS adalah pembela hukum kufur! SIS sesungguhnya adalah
pembela ‘hak asasi’ yang berasal dari Barat. Hak asasi manusia
(human rights) merupakan senjata yang diciptakan oleh kuffar
Barat untuk mengelirukan dan menjauhkan umat Islam dari hukum
Islam. Dengan adanya konsep ‘hak asasi’, Barat telah berjaya
menjadikan ‘standard’ atau pegangan hidup seorang Muslim
untuk dinisbahkan kepada hak asasi, bukan lagi dinisbahkan
kepada hukum syarak. Betul atau salah sesuatu perbuatan atau
hukuman itu hendaklah diukur dengan hak asasi, bukannya
dengan Al-Quran dan Sunah. Inilah kehendak Barat dan inilah
perjuangan yang dibawa SIS (yakni) meninggikan atau
memartabatkan hak asasi manusia dengan meninggalkan Al-
Quran dan Sunnah.
Lebih jauh, kenyataan media tersebut menyebut “Kami menggesa
agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula
hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia
mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang
menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang
lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan
yang menjatuhkan maruah.” Sekali lagi SIS menggunapakai
undang-undang taghut hak asasi manusia antarabangsa sebagai
hujah. Sedangkan telah nyata bahawa deklarasi hak asasi
manusia yang diasaskan pada tahun 1948 itu adalah sebuah
prinsip yang dicipta oleh kuffar Barat. SIS nampaknya telah
menjadikan orang-orang kafir (yang mewujudkan deklarasi)
sebagai ‘kayu ukur’ dalam menentukan kesesuaian sesuatu
hukuman. Di manakah SIS letakkan Al-Quran dan al-Hadis?
Butakah SIS bahawa perbuatan meminum minuman syaitan itu
sendiri adalah suatu yang tidak bermaruah menurut Islam?
‘Perbuatan’ terkutuk itu tidak pula dipersoalkan oleh SIS (dari
segi bermaruah atau tidak), sebaliknya ‘hukuman’ ke atas

peminumnya pula yang dipersoalkan. Tidakkah SIS pernah
mendengar sepanjang hidup mereka bahawa Allah SWT
berfirman, “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang
Allah turunkan, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”
[TMQ al-Ma’idah (5):45]? Jadi, siapakah pihak yang kejam di sini?
Orang yang ingin berhukum dengan hukum Allah, atau pihak SIS
yang ingin berhukum dengan hukum hak asasi manusia
antarabangsa?
SIS menganggap hukuman sebat sebagai mencabul hak asasi
manusia dan tidak berperikemanusiaan. Inilah pendapat SIS yang
‘sefikrah’ dengan orang-orang kafir dalam perjuangan hak asasi
manusia. Anehnya SIS tidak pula mempertikaikan atau
memperjuangkan penghapusan sebat yang telah lama wujud
dalam kes sivil, yang jauh lebih kejam cara pelaksanaannya.
Namun, bila hukuman tersebut ada ‘unsur syariah’, maka SIS
terus mempertikaikannya. Hati SIS nampaknya benar-benar telah
tertutup dari memahami ayat-ayat Allah, “Perempuan yang berzina
dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari
keduanya seratus kali sebatan; dan janganlah belas kasihan
kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama
Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan
hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh
sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” [TMQ an-Nur
(24):2]. Betapa jauhnya SIS dan sekutu-sekutunya terpesong dari
kebenaran. Alangkah sesatnya cara berfikir golongan liberal ini
yang menjadikan pemikiran kufur Barat sebagai sandaran hukum
dengan mengenepikan nas-nas sahih dari Al-Quran dan Hadis.
Sesungguhnya golongan inilah yang disayangi dan dimuliakan
oleh Barat, dan menjadi agen mereka dalam usaha mereka untuk
menghancurkan Islam. Bertambah malang, apabila para
pemimpin sekular tetap membenarkan golongan ini bergerak di
dalam masyarakat, malah menyokong serta memberi bantuan
kepada pergerakan ini.
SIS - Ekstremis Sekular
Sejarah Islam telah merakamkan berapa ramai pesalah wanita
yang mengaku dengan kesalahan yang mereka lakukan dan
redha dengan hukuman sebat ke atas mereka. Hal ini
menunjukkan ketundukan mereka kepada hukum Allah dan
kesedaran mereka akan azab Allah di Akhirat. Kes perempuan
Ghamidiyyah sebagai contoh, demi untuk meraih keredhaan Allah
SWT dan kebahagiaan di akhirat, Ghamidiyyah telah mengakui
perzinaannya dan bersedia untuk dihukum. Beliau mendatangi
Rasulullah SAW untuk disucikan (dari dosa) dengan meminta
Rasulullah menjalankan hukuman rejam ke atasnya yang telah
berzina. Ghamidiyyah kemudian direjam hingga mati. Rasulullah
SAW seterusnya bersabda, “Sungguh dia telah bertaubat,
seandainya dibahagi (taubatnya) antara 70 penduduk Madinah,
sungguh akan mencakup semuanya.” Seorang Muslimah yang
sedar dan takut akan azab Allah di Akhirat, akan pasti meminta
agar Negara menjatuhkan hukuman Allah ke atas kesalahan
mereka semasa di dunia agar seksa akhirat bagi mereka gugur,
sebagaimana permintaan Ghamidiyyah kepada Rasulullah SAW,
“Ya Rasulullah, sucikanlah aku!” Mereka mengakui kesalahan
yang mereka lakukan dan mahu dihukum menurut hukum Allah
sehingga mereka terlepas dari azab Allah di Akhirat. Mereka rela
menanggung sakitnya had Allah di dunia, kerana takut akan azab
Allah yang lebih berat menanti di Akhirat. Inilah sifat seorang
Muslimah yang beriman kepada Allah, tidak sebagaimana SIS
yang bukan sahaja tidak redha dengan hukuman syariah, malah
menentangnya habis-habisan dan ingin diganti dengan hukum
kufur buatan manusia! Masya Allah!
Kita mengingatkan SIS dengan Firman Allah, “Maka demi
Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga
mereka menjadikan kamu (Wahai Muhammad) hakim dalam
perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak
merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang
kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya” [TMQ
An Nisa’ (4):65]. Kita wajib yakin bahawa hukuman yang wajib
dijalankan ke atas Kartika adalah had Allah, sama ada 40 atau
80 kali sebatan. Dan hudud Allah sama sekali tidak boleh diubah,
dipinda atau dihapuskan. Hudud adalah hak Allah dan wajib
dijalankan biarpun golongan kafir, munafik, golongan liberal dan
sekular membencinya sekalipun. Berdasarkan ayat ini, jika
seseorang itu menolak hukum Allah dan Rasul, serta tidak pasrah/
redha kepadanya, maka tidak ada lagi keimanan dalam diri
seseorang itu.
Selain mendedahkan kesongsangan pemikiran SIS, kami juga
ingin mengingatkan kepada golongan wanita mahupun lelaki
mahupun gerakan Islam yang bersetuju dan menyokong Kartika
untuk menjalani hukuman 6 sebatan, sedarlah bahawa hukuman
6 sebatan yang akan dijalani oleh Kartika itu bukanlah hukuman
Islam dan kita tidak boleh bersetuju dengannya. Kita sewajibnya
bersetuju jika hukuman yang dijatuhkan adalah benar-benar
hukuman hudud yakni sama ada 40 atau 80 kali sebatan.
Sekiranya kalian adalah golongan yang ingin memperjuangkan
hukum Allah, janganlah berjuang di jalan yang keliru. Dalam kalian
memperjuangkan hukum Allah, janganlah terjerumus dengan
tindakan atau kelakuan yang sama seperti mana golongan liberal/
sekular yang membelakangkan undang-undang Allah dan Rasul.
Dalam pada kita tidak bersetuju dengan SIS yang menolak hukum
syariah, janganlah pula kita terkeliru dan bersetuju dengan
hukuman 6 sebatan yang hakikatnya juga bukan hukum syariah.
Sesungguhnya hukuman 6 sebatan yang dijatuhkan oleh
mahkamah juga adalah hasil produk sekularisme. Hukuman itu
bukannya datang dari Quran dan Sunnah, tetapi hasil produk
pembuatan undang-undang di Parlimen di bawah sistem
demokrasi yang membenarkan manusia membuat undangundang
dengan suara majoriti.
Allah Azza wa Jalla mengingatkan kita, “Dan tidaklah patut bagi
lelaki yang mukmin dan tidak (pula) perempuan yang mukmin,
apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan,
akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.
Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”
[TMQ al-Ahzab (33):36]. Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa
menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah semata-mata.
Manusia, baik lelaki mahupun wanita tidak ada hak untuk memilih
hukumnya sendiri. Siapakah SIS yang ingin mempersoalkan
hukum Allah? Malah lebih hina, SIS sanggup mengatakan undangundang
syariah sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan
tidak bermaruah. Alangkah dahsyatnya pemikiran sekular yang
ada pada SIS sehingga ke tahap mereka ingin merubah hukum
Allah. Sesungguhnya SIS bukanlah pembela wanita, sebaliknya
pembela hawa nafsu yang mahu menundukkan Islam mengikut
kehendak mereka. Demi Allah! SIS sebenarnya bukanlah
pembela Islam, sebaliknya mereka adalah pembelot Islam. SIS
langsung tidak layak untuk digelar Sisters In Islam, namun
selayaknya mereka digelar Sisters In Secularism!
Khatimah
Wahai Sisters In Secularism! Tidak pernahkah kamu takut dan
bertaubat kepada Allah, yang menciptakan kamu dari tidak ada
kepada ada, dari setitis air mani kemudian menjadi segumpal
daging dan kemudian Allah meniupkan ruh (ciptaan)Nya kepada
kamu dan dengan ruh itu kamu hidup. Setelah itu kamu dilahirkan
ke dunia melalui rahim ibu-ibu kamu. Allah membesarkan kamu
dan memberi rezeki kepada kamu. Dan Allah mengurniakan akal
kepada kamu yang tidak dikurniakanNya kepada binatang.
Namun, akal itu kamu gunakan untuk mempertikaikan dan
merubah hukum Allah, bukan untuk memahaminya dan
menerapkannya. Tidak takutkah kamu kepada Allah, Zat Yang
Maha Kuasa yang akan merentap nyawa kamu dalam masa
sesaat sahaja. Kemudian kamu akan ditelan bumi dan Allah akan
bangkitkan semula kamu untuk disoal dari segala perbuatan yang
telah kamu lakukan di dunia ini. Pada hari itu, hanya Allah
sahajalah yang berkuasa mengampuni segala dosa-dosa kamu,
jika Dia menghendakinya. Dan pada hari itu Allah jualah yang
pasti akan mengazab kamu, jika Dia menghendakinya. Maka,
tunggulah keadilan Allah ke atas kamu pada hari itu..

Tantawi Menyemarakkan Agenda Anti-Islam Kerajaan Barat...


Pada hari Isnin, 5 Oktober, ketika mengunjungi sebuah sekolah perempuan di Kaherah, Syeikh Mohamed Sayyed Tantawi, Rektor Universiti Al-Azhar, Mesir, telah mengarahkan seorang pelajar perempuan supaya membuka purdahnya dan menyatakan bahawa dia akan mengarahkan agar penutupan muka diharamkan di semua sekolah yang berkaitan dengan Al-Azhar. Kenyataannya telah memberi lampu hijau kepada usaha beberapa kerajaan Barat seperti Perancis, Belanda dan Belgium dalam mengharamkan purdah di negara masing-masing, ini suatu tindakan yang disifatkan oleh kebanyakan Muslim sebagai salah satu sekutu (Barat) yang terdesak dalam usaha menipu untuk mengheret mereka ke arah nilai-nilai sekular dan menjauhkan dari Islam. Sehari selepas komen tersebut dikeluarkan, Liga Utara (parti politik bersayap kanan dan ahli sekutu Silvio Berlusconi) mencadangkan perundangan dituju pada pengharaman penutupan wajah di Itali.

Dr. Nazreen Nawaz, wakil Media Muslimat Hizbut-Tahrir Britain memberi kenyataan:

“Sheikh Tantawi bukanlah orang yang asing dalam memukul gendang mengikut irama kerajaan sekular Barat. Antara perkara yang telah dilakukan termasuklah menyokong pengharaman tudung di Perancis, menasihati perempuan-perempuan Muslim untuk membuka tudung mereka dalam memenuhi kehendak undang-undang, serta bersalaman dengan Presiden Israel Shimon Peres – seorang penyembelih yang mana tangannya berlumuran dengan darah ribuan rakyat Palestin.

“Berlatarbelakangkan kerajaan Eropah yang sedang berusaha untuk mencantas kebangkitan Islam dalam masyarakat mereka dan memaksa untuk menerapkan nilai-nilai Barat melalui undang-undang seperti pengharaman tudung dan purdah, kata-katanya telah dijadikan sebagai hujah dalam agenda mereka. Tambahan pula, kenyataannya yang mutakhir ini telah menyediakan bantuan kepada propaganda peperangan kerajaan Barat terhadap Islam dan pakaian wanita Muslim. Oleh itu, daripada dia menyuruh para remaja Muslim untuk menanggalkan tudung mereka, adalah lebih baik dia menyorokkan wajahnya yang memalukan”.

“Dia menunjukkan kemarahan terhadap wanita yang berpurdah tetapi langsung tidak menghiraukan kebenaran kerajaan yang diberikan kepada para pengunjung wanita untuk berarak separuh bogel di dalam pusat percutian di Mesir. Dia mempergunakan Islam untuk berhujah bahawa wanita Muslim mestilah membuka wajah mereka tetapi mendiamkan diri terhadap pemerintahan sekular rejim Mubarak yang zalim yang cuba sedaya upaya dalam menyingkirkan Islam dari masyarakat, termasuk memenjara dan menyeksa sesiapa yang menyeru kepada pemerintahan Islam”.

“Tantawi dan orang yang seumpama dengannya adalah orang-orang yang bersedia untuk memberi khidmat apabila dibayar, yang menawarkan perkhidmatan memberi fatwa atas permintaan dalam menandatangani dan bersetuju tanpa sebarang persoalan terhadap tindakan pemerintahan autokratik dan kerajaan Barat, dia tidak mempunyai kewibawaan di kalangan umat Islam. Maka para pemimpin Barat tidak sepatutnya diperbodohkan dengan mempercayai bahawa perintah daripada ulamak kerajaan sebegini akan dapat meyakinkan kaum Muslimin untuk beralih arah daripada pegangan kepercayaan Islam yang kuat kepada menerapkan nilai-nilai yang korup, cacat dan rendah moral. Jika inilah harapan mereka, maka merekalah yang perlu membuka tudung daripada mata mereka dan bukannya wanita Muslim”.

Negara Islam Kewajipan Yang Dilalaikan

Satu lagi seminar anjuran Ikatan Intelektual Nusantara dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia akan diadakan di Kedah. Maklumat tentang seminar adalah seperti berikut:

Tarikh: 7 November 2009
Tempat: Hotel Seri Malaysia Alor Setar
Masa: 8:30am
Yuran pendaftaran: RM20 (Tempat adalah terhad; Tarikh Tutup Penyertaan: 25 Oktober)
Sila hubungi: 017-2265231 untuk maklumat lanjut.


Relevankah Mahathir Menjadi Penasihat Kerajaan???


Jadikan Mahathir penasihat kerajaan

KOTA BHARU 26 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat kerajaan dan UMNO. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menyampaikan pandangan secara tertutup agar tidak dieksploitasi oleh pihak ketiga. Beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbangkan perkara ini secara serius bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan dan dijadikan modal politik untuk mengelirukan rakyat. "Selama 21 tahun Dr. Mahathir berjuang dan memberikan khidmat yang luar biasa serta banyak berjasa, sudah tentu beliau mahu melihat dasarnya sebelum ini diteruskan sehingga Wawasan 2020 tercapai. "Sebab itu bila ada sesuatu yang tidak betul akan ditegurnya disebabkan tidak ada saluran untuk beliau menyampaikannya secara tertutup tetapi lazimnya pandangan beliau diambil kesempatan oleh pihak tertentu," katanya. Beliau berucap pada Malam Pimpinan Aidilfitri Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Pusat Khidmat Membela Rakyat (PKMR) dan Kelab Wartawan Kelantan (Kawan) di sini malam tadi. Menurut beliau, semua pihak juga tidak perlu memandang serong terhadap pelantikan ini kerana hubungan antara kedua-duanya lebih kepada seorang Perdana Menteri dengan negarawan ulung. Ibrahim berkata, dengan pelantikan tersebut, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan lebih kerap dengan Dr. Mahathir bagi mendapatkan pandangannya mengenai keadaan semasa negara. Bagaimanapun kata beliau, Najib tidak perlu mengikut kesemua pandangan dan nasihat Dr. Mahathir kerana setiap Perdana Menteri mempunyai gaya pemerintahan dan wawasan tersendiri untuk dicapai. "Saya percaya Dr. Mahathir akan menerima pelantikan tersebut, malah bekas Perdana Menteri itu juga tidak memerlukan gaji. Saya akan bawa cadangan ini ke Parlimen bulan depan,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 260909

Lantik Mahathir Sebagai Talian Hayat Untuk Terus Mengekalkan Sekularisme

Rekod pemerintahan sekular Kapitalisme Mahathir selama 22 tahun telah terbukti kejayaannya. Berjaya dari sudut apa? Sudah pastinya dari sudut kejayaan beliau dalam meneruskan dan melangsungkan kehidupan sekular Kapitalisme ditengah-tengah kehidupan bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Beliau telah berjaya memepertahankan sistem sekular yang ditinggalkan oleh penjajah dengan sangat cemerlang. Setelah melepaskan jawatan sebagai PM pun kita melihat Mahathir masih terus lantang bersuara untuk memastikan sistem sekular yang ada tetap dipertahankan - begitu bernafsu dan sayangnya Mahathir kepada sistem tinggalan penjajah ini! Kini, para pengikut Mahathir pula bersuara dengan cadangan agar kerajaan sekular yang ada hari ini melantik beliau sebagai penasihat UMNO dan kerajaan. Relevankah cadangan tersebut? Ya sudah pasti bagi para pendokong sekular tetapi tidak bagi pencinta Islam. Hanya mereka yang terbenam di dalam lumpur dan kekotoran sekular sahaja yang menginginkan agar tokoh sekular Kapitalisme seperti Mahathir ini terus diberikan peranan agar dapat sama-sama membantu memperpanjangkan tempoh hayat kehidupan Kapitalisme ini. Bergembiralah kuffar Barat dengan komitmen yang ditunjukkan oleh umat Islam itu sendiri! Firman Allah SWT “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”. [TMQ A-li 'Imraan (3) : 85].

Hukum Memutuskan Hubungan (Muqatha’ah) Sesama Muslim...

Soalan:
Apakah hukumnya mereka yang memutuskan hubungan atau memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim? Adakah dengan muqata’ah tersebut bererti dalam masa yang sama mengkafirkan seseorang? Jika tindakan tersebut dikaitkan dengan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan beberapa orang sahabat, adakah tindakan tersebut hanya boleh dilakukan di peringkat negara atau ia merupakan hak semua orang?

Jawapan:
Pertama, perlu diketahui bahawa memutuskan hubungan ataupun memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim merupakan hukum syarak yang dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah tertentu yang terjadi dalam hubungan sesama Muslim. Hukum ini tiada kaitannya dengan persoalan takfir (mengkafirkan) seseorang Muslim. Dalam erti kata lain, orang yang diboikot tidak jatuh kafir. Sebaliknya dia kekal Muslim, cuma disebabkan oleh tindakan tertentu yang dilakukannya, maka hukum muqatha’ah itu dikenakan terhadapnya.

Dalam konteks inilah Ibn Bathtal menyatakan bahawa Allah telah mengatur hukum-hukum yang mengandungi kemaslahatan bagi hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui tentang urusanNya, maka manusia harus tunduk kepada perintahNya dalam urusan tersebut. .[1]

Kedua, terdapat hadis yang melarang perbuatan memutuskan hubungan (muqata’ah) dengan sesama Muslim, antara lain sabda baginda sallallahu ‘alaihi wassalam:

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثِ لَياَلٍ (رواه البخاري)

“Tidaklah halal bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya lebih dari tiga malam.” (HR Bukhari)

Maksud ‘an yahjura’ atau ‘masdar-nya hajr’ adalah lawan kepada perkataan ‘wasl’, atau memutuskan hubungan.[2] Secara harfiah (mantuq), hadis ini melarang seseorang Muslim daripada memutuskan hubungan sesama Muslim lebih daripada tiga hari. Daripada hadis ini juga diketahui bahawa berdasarkan mafhum mukhalafah, bahawa memutus hubungan sesama Muslim dibolehkan kurang daripada tiga hari. [3]

Sungguhpun demikian, larangan tersebut dikecualikan terhadap orang yang melakukan maksiat. Dalam kitab Fath al-Bari: Syarh Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bab: Ma Yajuzu min al-Hijran liman ‘Asa (Memutus Hubungan yang Diperbolehkan terhadap Orang yang Bermaksiat) menyatakan: Dengan penjelasan ini, beliau (al-Bukhari) ingin menjelaskan hukum memutuskan hubungan yang diperbolehkan. Kerana umumnya, larangan tersebut sebenarnya hanya berlaku untuk orang yang diputuskan hubungannya tanpa alasan yang dibenarkan syariat. Oleh itu, jelaslah bahawa dibenarkan memutuskan hubungan terhadap orang yang melakukan maksiat. [4]

Ibnu al-Mulhib menyatakan bahawa memutuskan hubungan yang dibenarkan itu mempunyai kepelbagaian, sesuai dengan kadar kesalahannya. Bagi orang yang melakukan maksiat, maka dibolehkan untuk memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengannya, sebagaimana dalam kisah Ka’ab bin Malik dan dua orang temannya (Murarah dan Hilal). Sekiranya marah terhadap keluarga atau kawan, boleh memutuskan hubungan dengan tidak menyebut nama atau bermasam muka, tetapi masih bercakap, memberi dan menjawab salam kepadanya. [5]

Menurut at-Thabari, peristiwa yang terjadi terhadap Ka’ab bin Malik adalah dasar untuk memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat. [6] Dalam huraiannya, Ibnu Hajar mengulas kenyataan Abdullah bin Zubair, ketika dikenakan muqatha’ah oleh ‘Aishah, “ fainnahu la yahillu laha qathi’athi (Maka, tidak halal baginya untuk memutus hubungan kekeluargaan denganku), dengan menyatakan bahawa: Jika memutuskan hubungan denganku sebagai hukuman atas dosaku, maka ia pasti akan berpanjangan. Jika tidak, maka memutuskan hubungan secara berkekalan itu akan menyebabkan terputusnya silaturrahim. Menurut Ibnu Hajar, alasan ‘Aisyah berbuat demikian adalah kerana Abdullah bin Zubair yang masih merupakan anak saudaranya itu telah melakukan kesalahan yang besar. Menurutnya lagi, ‘Aisyah melakukan demikian kerana tindakan memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengan Abdullah bin Zubair itu memang dibolehkan, sebagaimana yang dilakukan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan dua orang temannya sebagai hukuman terhadap kemaksiatan mereka. [7]

Oleh itu telah difahami oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum, termasuk ‘Aisyah dan Abdullah bin Zubair bahawa tindakan Nabi terhadap Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal itu bukanlah hanya hak ketua Negara semata-mata, sebaliknya tindakan muqatha’ah yang dilakukan oleh ‘Aisyah menunjukkan bahawa tindakan tersebut boleh dilakukan oleh sesiapapun.

Imam an-Nawawi juga menjelaskan bahawa hadis yang memerintahkan untuk memutuskan hubungan dengan ahli bidaah, orang fasik [8] dan para musuh Sunnah itu begitu banyak sekali dicatatkan. Jadi menurut beliau, perbuatan memutuskan hubungan secara berkekalan turut dibenarkan. Oleh itu, larangan memutuskan hubungan dengan kaum Muslimin lebih daripada tiga hari itu tidak meliputi ahli bidaah, orang fasik dan yang seumpama dengannnya. Para sahabat, tabi’in dan generasi berikutnya sentiasa memutuskan hubungan dengan sesiapa sahaja yang melanggar sunnah atau orang yang rosak percakapannya (mafsadah).

Ibnu ‘Abd al-Barr juga menyatakan perkara yang sama bahawa para ulama’ telah bersepakat, barangsiapa yang khuatir berbicara dengan seseorang, di mana dengan berbicara dengannya itu boleh menyebabkan rosak agamanya atau memudaratkan urusan dunianya, maka dia dibenarkan untuk memutuskan hubungan dengan orang tersebut. [9]

Ketiga, apabila menyentuh berkenaan perbuatan memberi dan menjawab salam dalam konteks muqatha’ah, maka hukumnya dikembalikan kepada alasan mengapa dikenakan muqatha’ah tersebut. Jika alasannya bukan atas sebab maksiat, sebaliknya disebabkan oleh kerana marah terhadap keluarga atau teman, maka tetap diperintahkan untuk memberi dan menjawab salam. [10] Namun jika alasan muqatha’ah berpunca daripada perbuatan maksiat yang dilakukan, dan si pelaku itu jatuh sebagai seorang fasik, maka ketetapan memberi dan menjawab salam tidak diperintahkan. Dalam kitab Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Sayid Salih bin Ahmad al-Idrus menjelaskan: Salam kepada orang fasik, ahli bida’ah, dan pelaku dosa besar tidak disunahkan. Bahkan, tidak sepatutnya memberi dan menjawab salam mereka. [11] Imam as-Suyuthi juga menyatakan pandangan yan hampir sama. [12]

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh at-Thabari, dasarnya hendaklah dikembalikan kepada tindakan Nabi sallallahi ‘alaihi wassalam dan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang tidak memberi dan menjawab salam Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal. Inilah dalil dalam memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat [13]. Wallahu’alam
________________________________________
[1] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Saudi, t.t., juz III, hal. 2671.
[2] Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., juz V, hal. 250.
[3] Imam an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., juz XVI, hal. 117.
[4] Ibn Hajar al-Asqalani, Ibid, juz III, hal. 2671.
[5] Ibid, juz III, hal. 2671.
[6] Ibid, juz III, hal. 2671.
[7] Ibid, juz III, hal. 2670-2671.
[8] Tentang Ahli bidaah dan penyerang sunnah sudah jelas, maka tidak perlu dijelaskan lagi. Tetapi berkenaan orang fasik, penting untuk dijelaskan. Perkataan fasaqa, menurut Ibn Manzur, ertinya keluar dari kebenaran. Menurut istilah ahli fikih, fisq (masdar dari fasaqa), adalah tindakan melakukan dosa besar dengan sengaja, atau terus-menerus melakukan dosa kecil, yang tidak perlu ditakwilkan lagi. Tidak taat kepada amir adalah bentuk kemaksiatan yang disamakan dengan tidak mentaati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam (HR Ahmad, Ibn ‘Iwanah, Ibn Hibban dan Ibn Huzaimah). Dengan kata lain, tidak taat kepada amir merupakan dosa besar. Tindakan tidak taat kepada amir itu saja, menurut definisi fasik di atas, sudah cukup menjadikan pelakunya sebagai orang fasik, apatah lagi ketidaktaatan tersebut dilakukan dengan bangganya tanpa perasaan bersalah. Bahkan, kemudian menyebarkan fitnah bahawa amirnya bermaksiat. Bukan setakat itu, orang tersebut juga memprovokasi orang lain untuk melawan amirnya, sebagaimana yang dia lakukan. Maka, orang tersebut telah melakukan tiga dosa besar sekaligus: (1) Dosa tidak taat kepada amir; (2) Dosa memfitnah amir dengan sesuatu yang sebenarnya tidak dia lakukan; (3) Dosa memprovokasi orang lain untuk melakukan tentangan terhadap amirnya. Terhadap orang seperti ini berlaku hukum muqatha’ah di atas, termasuk perintah untuk memeriksa semua informasi yang bersumber dari orang tersebut. Lihat, Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, juz X, hal. 308; Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat al-Fuqaha’, Dar an-Nafais, Beirut, cet. I, 1996, hal. 315.
[9] Lihat, Tanwir al-Hawalik, juz I, hal. 655.
[10] Ibid, juz III, hal. 2671.
[11] Al-‘Alim al-Usuli as-Sayid Shalih bin Ahmad al-‘Idrus, Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Mathba’ah ar-Rushaifah, Malanj, Indonesia, t.t., hal. 9.
[12] Lihat, Syamsuddin ar-Ramli, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, t.t., juz XXVI, hal. 366.
[13] Lihat, Ibn Hajar, Ibid, juz III, hal. 2671.

Sumber : www.hizbut-tahrir.or.id

Solat Jumaat Depan Capitol Hill Membuktikan Apa???


Solat Jumaat depan Capitol Hill

BERIBU-ribu umat Islam Amerika Syarikat mengadakan solat Jumaat di hadapan bangunan Capitol Hill di Washington kelmarin, bertujuan memberi inspirasi kepada penganut Islam dan juga bukan Islam di negara itu.
Penganjur acara itu, Abdul Malik berkata, umat Islam datang dari seluruh AS, malah ada antaranya dari Britain dan Kanada.

Menurutnya, acara itu bukan suatu bentuk protes, sebaliknya hari untuk bersembahyang, mengabdikan diri kepada Tuhan dengan doa supaya semua lapisan rakyat Amerika boleh hidup bersama untuk kemajuan sejagat.

Sumber: Mingguan Malaysia: 26/09/09

A Picture Tells A Thousand Words

Pelbagai persepsi boleh timbul apabila kita melihat gambar di atas. Yang pasti, ada yang akan merasa bangga dengan perkembangan Islam dan keadaan baik yang dinikmati oleh umat Islam di AS. Persoalannya, apakah cukup dengan berlangsungnya solat Jumaat di depan Capitol Hill pada hari Jumaat lepas akan dapat memadamkan kejahatan AS kepada umat Islam di seluruh dunia? Apakah ini propaganda yang dirancang dan dimainkan oleh AS untuk terus menipu umat Islam? Yang pastinya kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh AS selama ini kepada umat Islam tidak akan dapat ditutup dan dihapuskan begitu sahaja.

Wahai umat Islam! Apakah kamu lupa dengan kebiadaban AS di Iraq, Afghanistan dan di tempat lainnya. Sudah berapa ramai nyawa umat Islam yang menjadi mangsa korban kejahatan AS dan sekutu-sekutunya. Berapa banyak masjid yang telah dihancurkan oleh tentera AS laknatullah di negara yang dijajah oleh mereka. Wahai umat Islam! Amat malang sebenarnya bagi umat Islam yang terleka dengan tipu muslihat yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam. Fahami dan kenalilah AS dengan pandangan ideologi Islam dan pasti kamu akan mengetahui siapa AS sebenarnya. Bau busuk bangkai Kapitalisme tidak akan dapat ditutup dan dihilangkan dengan sekeping gambar!!

Pesta Tanglung : Acara Tahunan Sekular 1Malaysia...


Pesta Tanglung 1Malaysia akan dijadikan acara tahunan

KUALA LUMPUR: Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur akan dijadikan acara tahunan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM250,000 kepada Kementerian Pelancongan untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menganjurkan pesta tersebut. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur 2009 di Pasar Seni di sini pada malam Sabtu. "Saya berharap acara ini akan dilihat sebagai satu lagi jambatan yang boleh memperkukuhkan konsep 1Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Pesta Tanglung 1Malaysia.

Jelasnya, beliau mahu melihat lebih banyak produk pelancongan di Malaysia yang lain akan turut dikenali selepas ini. "Kita menawarkan budaya,adat, kecantikan semula jadi dan hospitaliti kita yang mesra di mana Malaysia terkenal kerananya. "Acara hari ini merupakan permulaan siri baru acara pelancongan," katanya. Najib berkata, festival itu juga boleh dijadikan sebagai warisan kepada negara serta menjadi kekuatan dan aset utama untuk melonjakkan negata ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan. "Festival ini dilihat sebagai satu lagi produk pelancongan kerana ia pasti dapat menarik lebih ramai pelancong," katanya. Pada majlis itu, Najib turut menyertai perarakan tanglung bermula dari Jalan Hang Kasturi, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Hang Lekir dan Jalan Petaling. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan. Sambutan Pesta Tanglung tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Perdana Menteri turut memotong kuih bulan berbentuk 1Malaysia seberat 80 kilogram selepas upacara perasmian berlangsung. Majlis itu dianjurkan Kementerian Pelancongan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama 100 badan bukan kerajaan. Kemeriahan pesta tanglung yang diadakan buat pertama kali itu itu diserikan dengan tanglung gergasi setinggi 3.05 meter berbentuk logo 1Malaysia yang dinyalakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dengan tarian serta pukulan gendang pelbagai kaum. Ng ketika berucap pada majlis itu berkata sambutan pesta tanglung itu merupakan tanda komitmen semangat perpaduan gagasan 1Malaysia yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap kaum Tionghua. Beliau berkata pesta seperti itu mampu menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia. Lima jalan di ibu negara, Jalan Hang Lekir, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi dan Jalan Petaling turut ditutup bagi membolehkan perarakan pesta tanglung berjalan lancar. Tanglung dan kuih bulan merupakan perayaan tradisi bagi meraikan festival tahunan kuih bulan yang disambut pada 3 Oktober ini.

Sumber: mStar Online 26/09/09

Dalil 1Malaysia Digunapakai Untuk Kembali Kepada Fitrah Sekular

Baru seminggu umat Islam melaungkan takbir, tahmid, tahlil dan segala bentuk ucapan pengagungan kepada Allah SWT,tiba-tiba Najib menggunakan “dalil” 1Malaysia nya untuk sama-sama merayakan upacara Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur. Rupa-rupanya para pemimpin sekular in bukannya kembali kepada fitrah Islam tetapi sebaliknya mereka kembali kepada fitrah sekular.

Wahai Najib! Wahai umat Islam! Pesta Tanglung itu adalah satu bentuk hadharah yang terkait dengan akidah kufur dan tidak selayaknya kita sebagai seorang Muslim bersama merayakannya apatah lagi mempromosikannya. SubhanaAllah! Ketahuilah bahawa umat Islam hanya diperbolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam isu yang berhubungan dengan masalah keduniaan, itupun dengan syarat ianya dilakukan dalam aturan yang dibenarkan oleh syara’. Ini adala berdasarkan al-Quran surah al-Hujurat ayat 13:

"Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal." [TMQ. al-Hujurat (49): 13)

Juga berdasar al-Quran surah Mumtahanah ayat 8:

"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." [TMQ. Mumtahanah (60): 8).

Ketahuilah bahawa umat Islam tidak boleh mencampuradukkan aqidah dan peribadatan agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain, berdasarkan firman Allah SWT :

"Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku." [TMQ. al-Kafirun (109): 1-6]

Juga berdasar al-Quran surah al-Baqarah ayat 42:

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui." [TMQ. al-Baqarah (2): 42].

Justeru itu, wahai umat Islam! Tuntutan wajibnya menegakkan Daulah Islam saat ini adalah sesuatu yang amat mendesak kerana dengan berdirinya Khilafah itu maka warganegara Islam mahupun yang bukan Islam akan diatur dengan peraturan Islam yang mulia. Di dalam Daulah Islam inilah negara akan memperjelaskan kepada orang-orang kafir akan kedudukan mereka sebagai warganegara zimmi yang perlu terikat dengan peraturan negara. Islam tidak menghalang kafir zimmi untuk mengamalkan dan meraikan perayaan agama mereka dalam batasan yang dibenarkan oleh syara’. Berbeza dengan apa yang kita lihat hari ini, hanya dengan “dalil” 1Malaysia maka umat Islam kembali semula kepada fitrah sekular.

Wahai Najib kemuliaan kamu hanya akan terserlah apabila kamu kembali fitrah Islam!

Banteras HPV Atau Zina???

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Pelbagai pihak menyokong pemberian suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun di negara ini namun pada masa yang sama mengingatkan mereka bahawa ia bukan lesen untuk mengamalkan seks bebas. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, kajian menunjukkan hubungan seks pada usia terlalu muda menjadi antara punca seseorang wanita mendapat kanser pangkal rahim.

"Wanita yang kerap bertukar-tukar pasangan berdepan dengan risiko lebih tinggi mendapat kanser pangkal rahim disebabkan jangkitan virus HPV yang hanya tersebar melalui hubungan seks.

"Justeru, saya berharap inisiatif kerajaan ini tidak disalahtafsirkan oleh masyarakat sehingga mereka tidak mengendahkan bahaya hubungan seks bebas sekali gus menyebabkan ia semakin berleluasa di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, mulai tahun depan, seramai 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberi suntikan pelalian HPV secara percuma bagi mencegah penularan kanser pangkal rahim.

Menurut beliau, pemberian vaksin berkenaan adalah di bawah Program Pelalian HPV yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan melibatkan kos RM150 juta setahun.

Sumber: Utusan Malaysia 27/09/09

Zina Tidak Akan Terhenti Dengan Memberi Suntikan HPV

Aduhai umat! Masalah utama dalam hal ini adalah hubungan seks bebas yang menjadi penyebab penularan virus HPV mengakibatkan kanser pangkal rahim, bukan masalah kanser rahim itu sendiri. Hubungan seks bebas itulah yang sebenarnya perlu ditangani dengan betul agar penyelesaiannya tuntas. Suntikan HPV bukan penyelesaian masalah seks bebas, bahkan sebenarnya suatu bentuk pencegahan simptom kanser pangkal rahim.

Mengapa keadaan ini berlaku? Ini adalah kerana kekeliruan umat menghadapi permasalahan hidup yang tidak diatur dengan syariat Islam. Sudah terlalu lama kita tidak hidup dengan syariat Islam. Kita hanya mengamalkan sebahagian kecil sahaja syariat Islam terutama dalam hubungan ritual sedangkan dalam hubungan sesama manusia kehidupan kita diatur dengan sistem selain Islam. Lihat sahaja sistem sosial kapitalis yang menyediakan ruang yang sangat bebas untuk menyemarakkan kemungkaran hari ini! Begitu juga kejahilan umat dalam memahami inti ajaran Islam yang murni serta tiadanya perlaksanaan hukuman yang sesuai dengan tuntutan Ilahi. Zina berpunca dari wujudnya ruang dan peluang ditambah dengan melesetnya pemahaman seseorang tentang kesan zina.

Islam sebagai syariat yang menyelesaikan masalah kehidupan manusia telah mengatur beberapa panduan agar kita hidup dalam aman dan sejahtera. Umat perlu dididik (didedahkan) dengan ilmu serta pengetahuan mengenai masalah kehidupan, misalnya zina. Islam mentarbiyyah umat dengan mantap agar wujud kesedaran serta persepsi mengenai zina yang perlu dijauhi. Dalam masa yang sama, Islam menghalalkan perkahwinan bagi manusia menzahirkan naluri seksualnya termasuk mekanisme perkahwinan yang mudah, tidak seperti yang berlaku sekarang. Mekanisme ini, yang juga melibatkan faktor ekonomi dan persepsi masyarakat tentang perkahwinan akan memastikan agar manusia faham mengenai sistem sosial Islam. Begitu juga dengan aktiviti nahi mungkar di mana setiap ahli masyarakat yang bertakwa wajib melaksanakannya. Pihak berkuasa pula wajib menjalankan hudud (‘uqubat) Allah ke atas pesalah zina agar ia menjadi penghukum dan pengajaran bagi manusia.

Sungguh aneh sekali keadaan hari ini yang sudah terlalu jauh menyimpang dari kaedah penyelesaian permasalahan hidup Bahkan, dalam penyelesaian yng danjurkan wujud pula kos yang sangat tinggi yang tentu sekali menguntungkan pihak tertentu, namun tetap tidak akan menyelesaikan masalah sebenar. Zina akan terus berleluasa tanpa penerapan Islam sepenuhnya. Sampai bilakah umat ini perlu sedar dari terus ditenggelami arus jahiliyyah ini??

Indek Rasuah Meningkat. Simptom Kepada Penyakit Kapitalisme!!!


Rasuah: Malaysia merudum lagi, negara Islam tercorot

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45. Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah. Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173. Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura. Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000. Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu. Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik. Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih. Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati. Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu. _

Sumber : HarakahDaily, 26/09/09

Indek Rasuah Meningkat. Simptom Kepada Penyakit Kapitalisme

Peningkatan indeks rasuah ini memberikan gambaran awal bahawa di Malaysia nampaknya semakin ramai yang mengundangkan laknat Allah dan RasulNya. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

"Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum." [HR al-Tarmizi, Ahmad & Ibnu Hibban].

Dari Ai'syah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah ." [HR al-Bazzar & Abu Ya'la].

Dari Thauban katanya:

"Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dan perantaranya," [HR Ahmad & Hakim].

Gejala rasuah ini sebenarnya adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan dunia Kapitalisme. Kewujudan rasuah dalam dunia Kapitalisme adalah ibarat watak “upin’ dan “ipin” - sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Laporan indeks rasuah ini memperlihatkan kepada kita bahawa pemikiran masyarakat Malaysia telah banyak dicemari dengan Kapitalisme di mana ramai meletakkan manfaat sebagai sasaran utama dalam kehidupan mereka. Islam pula meletakkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat kebahagian kehidupan seseorang itu. Persoalannya, mengapa gejala rasuah ini nampaknya semakin membarah di negara ini? Hakikatnya, para pemimpin negara dan mereka yang memegang kekuasaan pada hari ini kebanyakannya adalah orang Islam?

Nampaknya kewujudan SPRM masih gagal untuk membendung gejala ini dari terus membarah dalam masyarakat. Undang-undang dan hukuman yang ada pada hari ini tidak mampu untuk mencegah masyarakat dari melakukan perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan rasulNya ini. Ini memberikan kepada kita petanda dan petunjuk yang jelas bahawa sebenarnya pemerintah sekular yang ada pada hari ini telah terbukti gagal dan akan pasti gagal untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang menolak rasuah. Yakinlah wahai umat Islam! Selagi Islam tidak dijadikan asas untuk mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara maka selama itulah penyakit rasuah ini akan terus subur. Hanya Daulah Khilafah sahajalah yang akan bersedia untuk menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan di dunia ini. Sudah tiba masanya untuk umat Islam yang mencintai dan ingin menggapai redha Allah SWT agar berusaha untuk mengembalikan Khilafah Islam untuk kedua kalinya. Ini adalah perkara yang dijanjikan dan merupakan kewajiban ke atas seluruh umat Islam saat ini.

Subsidi Bukanlah Penyelesaian Menangani Kemiskinan...

Subsidi beras golongan miskin

BATU GAJAH 24 Sept. - Mulai 1 Disember ini kerajaan akan memberikan subsidi beras secara terus kepada golongan berpendapatan rendah melalui penggunaan sistem kupon.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan kaedah baru pemberian subsidi tersebut.

Katanya, bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah apabila polisi baru itu dilaksanakan, kementerian akan menjalankan projek perintis sistem kupon pada November ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 25/09/09

Banteraslah Kemiskinan Dengan Cara Islam

Memang tidak dinafikan bahawa pemberian subsidi adalah baik jika dilihat dari aspek amalannya. Islam juga mengiktiraf pemberian subsidi dari negara kepada rakyatnya, kerana ia memang suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh penguasa kaum Muslimin. Tujuan pemberian subsidi juga adalah untuk mengurangkan jurang kekayaan di antara rakyat di dalam Daulah. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian”. [TMQ al-Hasyr(59) : 7]

Sistem Islam dengan Sistem Kapitalisme amat berbeza dalam menangani kemiskinan. Sistem Kapitalis menganggap subsidi merupakan suatu kebajikan dan ihsan dari negara, walhal ia merupakan tanggungjawab yang wajib mereka lakukan (sebagai penguasa). Belum ada fakta yang mengungkap bahawa Sistem Kapitalis mampu menangani kemiskinan. Di mana sahaja, di seluruh dunia kita dapat menyaksikan bahawa yang kaya semakin kaya, dan yang miskin semakin miskin. Di mana silapnya? Jawapan yang paling mendasar adalah sistem Kapitalis itu sendiri yang memang tidak mampu menangani jurang kemiskinan. Lebih buruk, subsidi kerap dilihat di dalam sistem ini sebagai suatu yang tidak wajar. Akibatnya, meskipun subsidi diberikan, jumlahnya tidak mencukupi untuk mengatasi kemiskinan. Malah hakikatnya, dalam sistem ini, subsidi itu sendiri tidak dilihat sebagai satu penyelesaian untuk masalah kemiskinan. Meskipun terdapat beberapa mekanisme sosialisme bagi menampal sulam kelemahan di dalam Sistem Kapitalis, pada hakikatnya sistem ini tidak dicipta untuk menangani masalah kemiskinan.

Berbeza dengan Sistem Kapitalis, Islam memandang serius masalah kemiskinan. Pada dasarnya ada 4 langkah yang digariskan oleh syariat Islam untuk menangani kemiskinan secara hakiki. Pertama, Daulah Islam wajib memastikan warganegaranya terpenuhi keperluan asasnya (primary needs) berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kedua, Daulah akan memastikan pengaturan pemilikan yang mencakup 3 aspek; jenis-jenis pemilikan, pengelolaan pemilikan dan pengagihan pemilikan. Ketiga, Daulah wajib menyediakan pekerjaan bagi seluruh warganegara. Keempat, Daulah wajib memberi jaminan pendidikan yang sama kualitinya secara percuma, tanpa adanya diskriminasi. (baca selanjutnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/203-sn007-kemiskinan-atau-pemiskinan).

Dengan penerapan Islam yang kaffah, bukan hanya kemiskinan yang akan dapat ditangani, Rahmat Allah akan tersebar ke seluruh alam. Bukankah ini yang kita sebagai umat Muhammad khususnya dan umat manusia umumnya inginkan?

Terus Sokong BN Bagi Meneruskan Pemerintahan Sekular???

Sultan Pahang mahu rakyat terus sokong kerajaan BN

KUALA KRAU: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka. Baginda bertitah, rakyat perlu terus bersama kerajaan kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka.

Sambil memberi contoh pembinaan jambatan Kuala Krau merentangi Sungai Pahang yang berharga RM64 juta, baginda bertitah usaha itu adalah agenda pembangunan mampan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di kedua-kedua belah sungai berkenaan. "Jambatan Kuala Krau berfungsi memendekkan perjalanan di antara Bandar Tun Razak, Jengka dengan Kuala Krau kepada 20 minit berbanding satu jam sebelum ini yang jaraknya sejauh 55 kilometer.

"Di samping itu, jambatan ini juga akan menjadi pemangkin kemajuan ekonomi kepada penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Jerantut dan Temerloh selepas perjalanan dipendekkan kepada 22 kilometer saja dengan memberi manfaat kepada 60,000 penduduk dari daerah Jerantut, Temerloh dan Maran," titahnya kepada pemberita selepas melawat tapak jambatan Kuala Krau di sini, semalam.

Baginda meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang yang melalui jambatan berkenaan.

Sumber : Berita Harian, 24/09/09

Terus Sokong BN Bagi Meneruskan Pemerintahan Sekular?

Isu projek dan pembangunan masih terus digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Ini termasuklah kenyataan Sultan Pahang di atas yang secara terbuka meminta rakyat untuk terus menyokong BN agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka. Persoalannya ialah apakah jika selain BN yang memerintah tidak akan ada pembangunan dan projek-projek untuk keselesaan rakyat? Apakah selain dari kerajaan BN tidak akan mampu memerintah dengan baik? Apa erti slogan pembangunan jika rakyat terus dipaksa dan terpaksa membayar nilai pembangunan itu dengan pelbagai bentuk cukai dan yang seumpamanya. Bukankah itu bermakna kerajaan telah berniaga dengan rakyat? Dahulu mungkin rakyat boleh digula-gulakan dengan projek-projek pembangunan dan yang seumpamanya tapi kini isu seperti ini sudah menjadi isu basi yang tidak akan mampu memperbodohkan rakyat selama-lamanya.

Dalam Islam, pembangunan dan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat adalah merupakan tanggungjawab pemerintah yang wajib ditunaikan oleh sesiapa sahaja dari mereka yang memerintah dan yang memegang kekuasaan di mana kelak mereka ini akan pasti dipersoalkan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin . Dia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki adalh pemimpin pada ahlinya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya, dan khadam itu menjadi pemimpin urusan harta tuannya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan dia ditanya tentang rakyatnya, maka semua kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang rakyatnya."

Oleh kerana itu, persoalan projek, pembangunan dan yang seumpamanya ini tidak selayaknya dijadikan suatu alasan untuk terus mengelirukan dan mempermainkan rakyat. Isu sebenarnya di sini ialah persoalan sistem yang diterapkan oleh sesuatu pemerintah an itu. Apakah sistem tersebut adalah sistem Islam atau sistem kufur? Hakikatnya, isu inilah sebenarnya yang akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT di hari akhirat. Atas perkara inilah maka seluruh umat Islam seharusnya sedar akan kewajiban mereka untuk menuntut dan mendesak pemerintah umat Islam yang ada pada hari ini agar menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Wahai umat Islam! Apakah kalian ingin terus mengekalkan pemerintahan yang akan terus menerapkan sistem taghut sebagaimana yang ada pada hari ini? Bukankah kamu telah diperingatkan oleh Allah SWT dengan firmanNya:

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An Nisaa' (4) : 60].

Wahai umat Islam! Apakah hati-hati kalian tidak tergugah dengan peringatan dari Allah SWT ini?

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul diantara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa' (4) :65].

Wahai umat Islam! Sudah sampai masanya buat kalian terjaga dari mentera sihir yang melingkari diri kalian sejak dahulu lagi dan berjuang bagi menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah yang akan memayungi dan menyebarkan rahmat Islam ke seluruh alam.

Padahnya Bila Berkawan Dengan Parti Sekular Dan Kufur ...

Pas Selangor kaji kedudukan dalam pakatan pembangkang

SHAH ALAM 24 Sept. – Pas Selangor sedia mengkaji secara terperinci cadangan mana-mana wakil rakyat yang mahu parti itu melihat semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang di negeri ini. Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan mengadakan satu menyuarat tergempar dalam masa terdekat ini untuk membincangkan perkara tersebut. Beliau berkata, pihaknya juga amat kesal, kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berikutan tegurannya mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat). Menurut beliau, lebih mengecewakan ialah kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang amat mengejutkan parti kerana beliau sebagai pemimpin Pas negeri harus menyokong pendirian parti.

“Jika mereka mahu Hassan letak jawatan sebagai Exco dan Pesuruhjaya di negeri ini bermakna mereka mahu Pas keluar dari negeri ini kerana Hassan adalah Pesuruhjaya kami. “Mereka semua ini hanya tahu mengeluarkan kenyataan membuta tuli tanpa menyelidik dahulu apa yang sebenarnya Hassan maksudkan. Setahu kami Hassan bermaksud baik bukan mempertikaikan kewujudan dan kuasa Selcat. “Kami juga tidak faham atas kapasiti apa Khalid mengeluarkan kenyataan dan akan menyelidiknya sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini. Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa wakil rakyat yang mahu Hassan keluar daripada pakatan pembangkang negeri jika tidak lagi mampu bekerjasama dengan wakil rakyat DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Desakan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini itu dibuat beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Khalid, Mohd. Azmi dan Santiago. Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin dalam kenyataannya yang dikeluarkan pagi ini menegaskan, Pas Selangor tetap dengan pendiriannya mendesak proses pendengaran ke atas pegawai tinggi kerajaan yang dijalankan Selcat dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai yang terlibat dan dapat mengelak daripada diaibkan. Ini kerana kata beliau, Selcat dan kerajaan negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada ‘anugerah penyapu’ ciptaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sumber : Utusan Malaysia, 24/09/09

Padahnya Bila Berkawan Dengan Parti Sekular Dan Kufur

Nampaknya pertikaian dan pertembungan isu di antara anggota parti-parti PR terus berlarutan dan semakin bertambah panas. Dari satu isu ke satu isu yang lain. Parti Islam SeMalaysia (PAS) nampaknya terus bercakaran dengan anggota sekutunya dalam PR. Adalah tidak menghairankan ini berlaku kerana kerjasama antara gabungan dalam PR bukanlah di atas dasar akidah Islam tetapi adalah di atas dasar manfaat semasa. Dan kini kita dapat melihat natijahnya. PKR dengan idea sekularnya. DAP dengan idea kufurnya dan PAS tersepit di tengah-tengah sekular dan kufur untuk membawa idea Islamnya. Dan kita dapat melihat PAS juga dalam sesetengah pendekatannya terpaksa dan dipaksa tunduk dengan kehendak ahli sekutunya yang lain. PAS yang bersetuju dengan idea demokrasi akan pasti kalah dan mengalah kerana dalam percaturan demokrasi di dalam sistem kufur ini suara majoriti adalah penentu mutlak kebenaran dan hakikatnya PAS yang mewakili suara Islam sudah pasti tewas dengan suara sekular PKR dan suara kufur DAP. Apakah PAS masih percaya dengan penipuan demokrasi ini. Sampai bila? Ini belum lagi halangan dari suara sekular di luar PR yang datang dari UMNO dan sekutu-sekutunya di dalam BN!

Sebagai suatu muhasabah kepada parti Islam di mana sahaja mereka berada, kembalilah kepada thariqah Rasulullah SAW dalam usaha kamu untuk memperjuangkan Islam. Janganlah kamu tertipu dengan demokrasi yang dicipta dan diberikan oleh Barat kepada dunia Islam hari ini sebagai satu bentuk penyesatan politik untuk terus menjauhkan umat Islam dari landasan thariqah Rasulullah SAW yang sebenarnya.

Wahai pencinta-pencinta Islam! Kalian bersungguh-sungguh mencontohi kaifiah solat dan haji serta ibadah-ibadah Rasulullah SAW yang lain namun kenapakah kamu tidak berusaha untuk mencontohi nabi SAW dalam perjuangan kalian untuk menegakkan Islam?

Masih Mengharapkan OIC???



OIC pentas tangkis tohmahan Barat - Tonjol imej Islam elak dituduh pelampau : Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bukan sekadar platform kerjasama di kalangan ummah tetapi juga pentas pertahanan bagi menangkis tohmahan yang mengaitkan Islam dengan kegiatan pelampau dan Islamofobia.

Perdana Menteri berkata, tanggapan negatif dan penghinaan terhadap Islam yang semakin meluas itu bertambah buruk terutama terhadap umat Islam yang tinggal di negara Barat. Katanya, menjadi tanggungjawab ummah untuk menonjolkan imej Islam yang sebenar dengan menekankan nilai universal, pencapaian dan warisan yang kaya dalam agama suci itu yang mengajar umatnya bertoleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain.

"Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan OIC ini, saya mengajak semua umat Islam di seluruh dunia memperbaharui ikrar kita dan bergerak bersama sebagai satu organisasi demi pencapaian dan kepentingan ummah.

"Malaysia akan terus bekerjasama dengan OIC untuk menggalakkan keamanan dan keselamatan di dunia, terutama membabitkan isu berkaitan ummah," katanya dalam mesej khas ulang tahun ke-40 penubuhan OIC di sini, semalam. Najib berkata sebagai pertubuhan yang melindungi kepentingan umat Islam, ia aktif memainkan peranan dalam mempromosi kegiatan bagi mempertingkat kerjasama dan penyelarasan di kalangan 57 negara anggotanya yang mempunyai 1.5 bilion penduduk.

Bagaimanapun katanya, dunia hari ini berbeza berbanding 40 tahun penubuhannya, yang menempuh pelbagai cabaran bagi memastikan OIC terus kekal relevan dalam dunia globalisasi, teknologikal dan tanpa sempadan.
"Anggotanya mesti bekerjasama, memaksimumkan segala sumber yang ada secara bersepadu untuk kepentingan dan manfaat ummah. OIC mesti mengenal pasti cabaran baru, era selepas 11 September," katanya.

Perdana Menteri turut meminta negara anggota OIC supaya bersama-sama membantualt menghapuskan kemiskinan yang masih membelenggu jutaan umat Islam di seluruh dunia. Malaysia sebagai anggota pengasas pertubuhan itu, katanya, turut memainkan peranan penting, tidak terhad mengenai isu politik semata-mata tetapi turut memberi perhatian kepada isu ekonomi dengan pendekatan yang praktikal.

"Sehingga hari ini, kerajaan Malaysia tetap komited bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan menggalakkan dagangan di kalangan negara anggota OIC walaupun potensi dagangan pada masa ini berada pada tahap 16.7 peratus," katanya.

Sumber : Berita harian, 24/09/09

Masih Mengharapkan OIC?

Apakah Najib sedang bermimpi di siang hari? Sudah 40 tahun OIC berdiri dan selama itu jugalah nasib umat Islam tidak berubah. Hari ini kita dapat menyaksikan darah umat Islam terus ditumpahkan oleh AS, Israel, NATO dan sekutu-sekutunya dipelbagai wilayah umat Islam. Apa yang telah dilakukan oleh OIC? Jika ada kejadian yang menimpa umat Islam seperti serangan Israel ke atas umat Islam di Palestine contohnya, maka para pemimpin OIC yang bacul dan penakut ini hanya akan mengadakan sidang tergempar, mengeluarkan resolusi, mengeluarkan kutukan dan kecaman. Selepas itu mereka akan kembali ke istana-istana mewah mereka, tertipu dengan helah dunia yang menipu. Amat hina apa yang dilakukan oleh para pemimpin OIC ini sebenarnya.

Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa kewujudan OIC itu hakikatnya adalah mangkin yang memecah belahkan umat Islam yang dipisah-pisahkan kepada banyak negara-negara ashobiyyah. Sekiranya ada isu yang berlaku di dunia umat Islam seperti di Iraq dan yang seumpamanya maka para pemimpin sekular OIC ini akan mula menyibukkan diri mereka bagi menggambarkan seolah-olah mereka begitu prihatian terhadap nasib umat Islam tetapi hakikatnya mereka hanya akan mengeluarkan resolusi dan selepas itu mereka tidak akan berbuat apa-apa. Mereka tidak berani bertindak terhadap musuh umat Islam kerana mereka sebenarnya adalah boneka kepada musuh Islam itu sendiri.

Para pemimpin OIC ini adalah seperti musang berbulu ayam. Mereka berperwatakan seolah-olah menjaga kepentingan umat Islam namun setiap tindakan yang mereka ambil, mereka akan pastikan agar tuan mereka (AS dan Barat) tidak terusik kepentingannya. Umat Islam akan terus ditimba musibah jika terus mengharapkan OIC. Oleh kerana itu wahai umat Islam, apa yang kalian perlukan adalah seorang Khalifah dan bukannya OIC bagi menangkis tohmahan Barat. Wahai Najib, fikirkanlah!!!

Wajah Parti Politik Sekular...


Pilih calon bersih di Bagan Pinang jika mahu menang besar - Tun Mahathir

SEREMBAN 22 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Visi Dan Misi Parti Sekular Sangat Hodoh

Membaca komen Dr. Mahathir Mohamad di atas sudah cukup memberi gambaran yang jelas tentang visi dan misi sebuah parti politik sekular. Tujuan parti politik yang didirikan oleh mereka, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja dan menjalankan sistem (sekular) yang sedia ada. Bukan untuk kepentingan rakyat! Jauh sekali untuk menerapkan Sistem Islam! Tidak percaya? Lihatlah contoh di atas. Mula-mula mereka akan mencalonkan orang yang kononnya ‘bersih’ untuk dipertandingkan. Kedua, janji-janji manis ditaburkan (untuk mengaburi rakyat).

Ketiga, kalau mereka menang, dimulailah langkah strategik untuk meneruskan polisi sekular mereka, yang sememangnya hanya ‘mengenyangkan’ perut-perut mereka sahaja. Jika kalah, mereka akan mengutuk dan mencela pihak lawan (yang menang) dengan pelbagai hujah. Kelakar bukan?

Sebagai seorang Mukmin, kita seharusnya jelas bahawa parti dan gagasan apa pun yang berjuang atas tiket Demokrasi, tidak akan sesekali mendatangkan kedamaian, kesejahteraan dan keadilan kepada manusia (khususnya rakyat jelata). Ini adalah kerana perjuangan mereka hanyalah untuk memenangi sebuah ‘pertandingan’. Setelah itu, hadiah dari kemenangan ini mereka jadikan alat untuk memuaskan hawa nafsu serakah mereka. Kalaupun ada yang ingin berjuang kerana Islam, mereka akan terperangkap dengan sistem dan kepompong politik yang ada. Walhasil, perjuangan asal terabai. Gagasan Islam pula hilang entah ke mana. Parti pula porak peranda! Ini kerana mereka akan bertungkus-lumus untuk menambat hati rakyat dengan apa yang diinginkan rakyat (semasa pilihan raya), bukan kerana syariat Islam. Inilah yang dinamakan Demokrasi?

Wahai Kaum Muslimin!

Sedarlah bahawa sudah sekian lama kita ditipu dengan ‘magic’ yang ditampilkan oleh parti-parti politik yang ada. Cukuplah dengan fakta yang begitu banyak terpampang di depan mata. Marilah kita kembalikan fokus utama kita sebagai seorang hamba di muka bumi, iaitu untuk menggapai redha Ilahi. Bukankah redha Allah SWT akan dapat digapai tatkala kita melakukan yang makruf, dan meninggalkan yang mungkar? Dan perkara makruf yang paling besar adalah dengan menegakkan semula Institusi Daulah Islamiyyah, di mana syariat Islam akan diterapkan secara menyeluruh (kaffah). Manakala kemungkaran yang terbesar pula berlaku tatkala kita tidak menerapkan Hukum Allah secara kaffah. Apa lagi jika kita tidak mahu berjuang untuk menegakkannya! Na’udzubilah Min Dzalik.

Mahkamah Khas Dan ISA Tetap Zalim!!!


Mahkamah khas ganti ISA

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar hari ini mencadangkan penubuhan mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani ancaman keselamatan.

Pada masa yang sama, katanya, undang-undang baru yang lebih adil, tegas dan menjamin hak asasi manusia perlu digubal bagi mengambil alih peranan ISA termasuk memansuhkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang tanpa melalui proses mahkamah.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Tampal Sulam Negara Sekular Adalah Biasa

Aktiviti tampal sulam dalam sebuah negara sekular adalah satu perkara yang biasa terjadi. Jika hari ini ramai yang menganggap ISA sudah tidak lagi relevan, maka Mahkamah Khas akan dijadikan sebagai alternatif untuk menggantikannya dengan sedikit modifikasi. Di masa hadapan, Mahkamah Khas ini pula akan dianggap sebagai tidak relevan seperti mana yang terjadi dengan ISA pada saat ini. Hakikatnya, perundangan apa pun yang ‘dicetak’ dalam perlembagaan sekular, ia tetap lemah dan rapuh kerana dicipta oleh akal-akal manusia yang terbatas. Ini bukan hanya terbatas pada ISA sahaja, malah terhadap kanun-kanun lain yang sudah tidak lagi relevan ketika zaman beredar dan tampuk pemerintahan pula silih berganti wataknya. Bukankah begitu?

Di dalam Islam, manusia akan dihukum dengan keadilan yang sama, berdasarkan ketentuan yang telah ditetapkan oleh As-Syaari’ (Pembuat Hukum). Mahkamah di dalam Islam terdiri dari tiga jenis iaitu, (1) Qadhi Khusumat, (2) Qadhi Muhtasib/Hisbah dan (3) Qadhi Mazhalim (baca selengkapnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/264-sn066-ombudsman-vs-sistem-mahkamah-daulah-islam) – tidak ada jenis mahkamah yang lain. Walau apa pun mahkamah yang dibentuk, direka dan dicipta di luar dari ketentuan syara’ maka ia tetap suatu kebatilan.

Adapun apa yang disebutkan oleh Dr. Chandra, “... dalam Islam sendiri pesalah atau suspek diberi ruang membela diri atau dibicarakan”, perlulah diperjelaskan bahawa Mahkamah Khas yang ingin dibentuk ini, meskipun memikul elemen ‘bela diri’ dan ‘pembicaraan’, ia adalah tetap berpandukan hawa nafsu manusia yang terus terikat dengan perlembagaan sekular. Sebaliknya, Mahkamah Islam berjalan atas asas wahyu Ilahi yang tiada cacat celanya. Dan ini adalah keadilan yang hakiki!

Wahai Manusia Yang Berakal!

Walau apa pun tindakan yang kalian lakukan, selagi mana ia tidak disandarkan pada nas Al-Quran dan As-Sunnah, maka tindakan tersebut adalah zalim dan pelakunya bermaksiat kepada Allah SWT. Allah berfirman:

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maidah (5): 45]

Realiti Tentera Malaysia Mendukacitakan...

Cepat kaya: Tentera paling ramai sertai

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Anggota pasukan keselamatan negara antara golongan paling ramai menyertai skim pelaburan cepat kaya kerana mendakwa gaji yang diterima tidak mencukupi. Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, menerusi laporan dan aduan diterima pihaknya, golongan tersebut cenderung melaburkan wang ke sebuah syarikat pelaburan kereta sewa di sini. Katanya, bagaimanapun syarikat tersebut yang tidak mempunyai lesen untuk beroperasi hanya bertahan kurang daripada lima tahun ekoran pihak berkuasa pantas menghidu sindiket penipuan mereka. “Apa yang menyedihkan, sejak syarikat tersebut didakwa atas kesalahan tidak memiliki lesen, semua anggota keselamatan yang melabur sehingga mencecah ribuan ringgit sehingga kini menjadi mangsa buruan ah long.

“Mereka meminjam dari ah long bagi menyara kehidupan keluarga ekoran wang simpanan habis digunakan selain gaji dipotong setiap bulan untuk pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Ahmad Zaki berkata, bentuk skim pelaburan yang diperkenalkan oleh syarikat berkenaan ialah skim pelaburan kereta sewa dengan pelabur perlu melaburkan wang mereka sekurang-kurangnya 30 peratus daripada harga sesebuah kenderaan yang ingin dibeli. Jelasnya, apabila para pelabur telah membeli mana-mana kenderaan dengan cara pelaburan bersama, kenderaan itu akan dikendalikan oleh syarikat berkenaan sebagai kenderaan angkutan untuk para pelancong. “Hasil penyewaan kenderaan kepada syarikat-syarikat pelancongan yang dijalankan oleh syarikat pelaburan itu kononnya diberikan kepada pelabur atau pemilik kenderaan. “Para pelabur yang hampir keseluruhannya terdiri daripada anggota keselamatan bagaimanapun mengakui menerima hasil masing-masing tetapi hanya untuk tempoh tiga tahun pertama,” kata beliau. Beliau berkata, sindiket syarikat tersebut mula dikesan ketika negara gempar dengan kes skim cepat kaya tanpa lesen dengan menahan kira-kira lima syarikat dan salah satunya adalah syarikat pelaburan itu. Kini, katanya, syarikat tersebut masih disiasat dan jika didapati bersalah akan dikenakan tindakan sewajarnya. “Tetapi bagaimana dengan nasib anggota-anggota keselamatan yang terperangkap, sehingga kini tiada pihak boleh membantu dan selesaikan masalah mereka,” ujarnya. Justeru, Ahmad Zaki berkata, pihaknya merayu pihak-pihak yang berkaitan untuk memberi peluang kepada para anggota keselamatan melabur dalam skim khas pelaburan yang lebih meyakinkan. “Mereka sepatutnya wajar dibantu kerana banyak berkorban jiwa dan raga. Mungkin antara pendekatan lain yang boleh diambil ialah dengan memberi insentif bagi pembelian barangan keperluan dan kenaikan gaji,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Wahai Tentera Umat Islam! Kemuliaan Kamu Adalah Berjihad Dijalan Allah SWT

Betapa sedihnya kita mendengar berita mengenai ramainya golongan tentera yang tertipu oleh skim cepat kaya sebagaimana yang dipaparkan di atas. Bagaimana ini boleh berlaku? Bukankah kerjaya tentera itu suatu tugas yang mulia? Wahai tentera-tentera Allah SWT! Kemuliaan kamu ialah apabila kamu berjaga malam untuk menjaga perbatasan negeri umat Islam. Kehebatan kamu ialah apabila kamu berjihad di jalan Allah SWT untuk mempertahankan darah umat Islam seperti di Iraq, Palestin, Afghanistan dan seumpamanya. Keunggulan kamu ialah apabila kamu berjihad untuk membuka dan menghancurkan halangan dakwah Islam dari sampai ke sesuatu negeri.

Namun hari ini kita melihat betapa hinanya tentera umat Islam yang telah dihinggapi pemikiran dan cara hidup sekular Kapitalisme. Amat menyedihkan apabila ramai di kalangan mereka yang terlibat dengan skim cepat kaya dan Ah Long. Bukankah skim cepat kaya itu akadnya adalah batil? Bukankah transkasi Ah Long itu mengandungi riba? Bukankah dosa riba itu sangat besar di sisi Allah SWT. Bukankah ini merupakan perkara yang cukup hina dan azab pedih menunggu para pelaku riba.

Wahai tentera umat Islam! Di hadapan kamu telah terbentang syurga Allah SWT tetapi kenapakah kamu memilih dan mengundang azab Allah SWT?

Wahai tentera Allah SWT! Jadilah kamu seperti tentera yang pernah bersama dengan Panglima Perang Islam Tariq bin Ziyad yang membuka Andalusia. Jadilah kamu seperti tentera Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds. Jadilah kamu seperti tentera yang pernah dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya membuka Kota Konstantinopel!

Itulah sebenarnya kejayaan yang hakiki yang perlu kamu rebutkan bukannya bentangan dunia yang menipu. Wahai Panglima Angkatan Tentera! Wahai Ketua KAGAT! Kamulah yang berkewajiban untuk menyuburkan ruh jihad kepada tentera umat Islam. Rebutlah peluang ini wahai Pasukan Angkatan Tentera. Kamu dan tentera yang berada di bawah kekuasaan kamu akan meraih kemuliaan sebagaimana kemuliaan yang diraih oleh tentera umat Islam terdahulu jika kamu memilih jihad fisabilillah. Bukannya terlibat dengan skim-skim yang menghinakan.